Advertisement

Sidang Siswi 2.0 : Platform Pemerkasaan Kepimpinan Wanita Muda IPTA

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 19 Jun 2026 – Majlis perasmian Sidang Siswi 2.0 yang berlangsung di The Brick, Universiti Sains Malaysia, menandakan bermulanya penganjuran program selama tiga hari yang menghimpunkan pemimpin pelajar wanita dari seluruh negara.

Di bawah kepimpinan Julita Balqis Badrul Munir, NYDP II MPP USM merangkap Pengarah Program Sidang Siswi 2.0, program yang diterajui oleh USM PINK ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh komitmen dalam memperjuangkan keterangkuman, pemerkasaan wanita, kesejahteraan pelajar serta mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan kepimpinan wanita dalam kalangan generasi muda serta menyifatkan penyertaan aktif mahasiswa sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.

“Kepesatan tenaga muda pada hari ini memperlihatkan kebangkitan kepimpinan wanita yang amat membanggakan, malah sejarah dunia turut membuktikan kehebatan tokoh-tokoh wanita, termasuk di Macedonia Utara serta ketegasan kepimpinan mendiang Indira Gandhi di India dalam memperjuangkan hak dan maruah wanita,’ katanya.

Dengan mengangkat tema Youth Woman Student Leaders Conference 2026, Sidang Siswi 2.0 menghimpunkan pemimpin pelajar wanita daripada USM, UM, UMT, UMS dan UKM sebagai platform memperkukuh kepimpinan, memperluas jaringan kerjasama serta membincangkan isu belia dan pembangunan komuniti, selaras dengan penekanan terhadap SDG 5: Kesaksamaan Jantina sebagai asas kepada pemerkasaan kepimpinan wanita.

Majlis turut dihadiri oleh Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, Saudara Azfar Al Hafiz Azman, YDP MPP USM, serta Saudari Nur Zulaikha Zulkifley, Pemantau USM PINK.

Penganjuran Sidang Siswi 2.0 diharap menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk membangunkan graduan yang berdaya saing, beretika dan bertanggungjawab kepada masyarakat.