Berita dan gambar: Dr. Muhammad Nur Hidayat Mohd Salim dan Norhafizi Nordin
ALOR SETAR, 23 Oktober 2026 – Dua inovasi pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai pemenang di Pentas CIPTA sempena Jelajah JIWA SME 2026 Siri Kelima (Kedah) di Aman Central Mall. Pasukan RE:BREW Scrub meraih pengiktirafan Peserta Terbaik, manakala pasukan IsyaratKafe menerima pengiktirafan Peserta Berimpak Tinggi. Kedua-dua pasukan turut memenangi hadiah artikel media bernilai RM10,000.00.

STHEM menghantar empat penyertaan ke pertandingan ini. Tiga daripadanya melepasi proses saringan, iaitu RE:BREW Scrub, IsyaratKafe dan SMEz, dan dua dinobatkan sebagai pemenang. Menurut penganjur, ini merupakan kali pertama Pentas CIPTA menampilkan dua pemenang.
Pentas CIPTA merupakan platform anjuran Astro AWANI dengan kerjasama Unifi Business yang memberi peluang kepada pelajar universiti membentangkan idea inovasi di hadapan panel juri. Pembentangan dinilai oleh tiga orang juri yang mewakili Unifi Business, Astro AWANI dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Kedua-dua pasukan pemenang dianggotai pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti, STHEM. Mereka diselia oleh En. Norhafizi Nordin dan Dr. Muhammad Nur Hidayat Mohd Salim, bersama Pn. Umme Umaimah Amin dan Pn. Siti Aminah Hasbullah yang turut membangunkan kedua-dua inovasi tersebut.


Pasukan RE:BREW Scrub yang dianggotai Nurul Shafiqa Binti Muhammad Ali dan Priscela Anak Sendol mengetengahkan konsep coffee body scrub yang menggunakan semula hampas kopi sebagai bahan input produk penjagaan badan. Inovasi ini menyasarkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya pemilik kafe yang ingin meneroka produk berjenama sendiri selain minuman kopi.
Berteraskan tagline “Waste Less, Glow More: Pembaziran kepada Kelestarian”, inovasi ini membawa mesej bahawa hampas kopi bukan sekadar bahan buangan, tetapi sumber yang boleh dimanfaatkan semula.
Keunikannya terletak pada model Circular Beauty Partnership, iaitu kerjasama yang menghubungkan kafe rakan dengan proses pengumpulan dan perekodan hampas kopi, pemprosesan terkawal, pembangunan serta penilaian produk, dan penjenamaan mengikut identiti kafe. Jumlah hampas kopi yang dikumpul dan digunakan semula boleh direkodkan bagi menilai sumbangannya terhadap amalan ekonomi kitaran.
Produk tersebut masih memerlukan penilaian lanjut dari aspek keselamatan, kualiti mikrobiologi, kestabilan, kos pengeluaran, penerimaan pasaran dan pematuhan keperluan kosmetik sebelum boleh dipasarkan. Sehubungan itu, projek rintis bersama beberapa kafe rakan sedang dirancang.
Menurut En. Norhafizi Nordin, inovasi itu memberi peluang kepada pelajar melihat potensi bahan buangan industri makanan dan minuman dari perspektif pembangunan produk, keusahawanan dan kelestarian.
“Pelajar kita melihat hampas kopi bukan sekadar sisa, tetapi sebagai sumber yang berpotensi dibangunkan menjadi produk bernilai tambah untuk kafe tempatan. Pengiktirafan ini memberi motivasi kepada pasukan untuk meneruskan usaha menilai kebolehlaksanaan produk dan model kerjasama bersama industri,” katanya.
Pasukan IsyaratKafe yang dianggotai Siti Norizzati Binti Rosli dan Nurul Asriena Binti Mohammad pula membangunkan aplikasi pesanan yang membolehkan kafe kecil menggaji barista pekak. Di kebanyakan kafe, pesanan disampaikan secara lisan dan pelanggan dipanggil dengan nama apabila minuman siap. Keadaan ini menjadi halangan besar kepada barista Orang Kurang Upaya (OKU) pekak, sehingga ramai majikan teragak-agak untuk menggaji mereka walaupun berminat.
Melalui IsyaratKafe, pelanggan hanya perlu mengimbas kod Quick Response (QR) dan memesan menggunakan ikon, termasuk pilihan panas atau sejuk serta tahap gula. Pesanan terus muncul di tablet barista dengan skrin berkelip, manakala telefon dan jam pintar barista turut bergetar sebagai amaran pesanan baharu sekiranya mereka tidak sedang melihat skrin. Sementara menunggu, pelanggan boleh menonton dan belajar video ungkapan ringkas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam aplikasi untuk berinteraksi dengan barista.
Prototaip IsyaratKafe sudah berfungsi sepenuhnya dan dibina menggunakan teknologi percuma, menjadikannya mampu milik untuk kafe kecil, khususnya di zon utara. Selain membuka peluang kerja untuk golongan pekak, aplikasi ini membantu PMKS membina imej inklusif dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8 dan 10, iaitu pekerjaan yang wajar dan pengurangan ketidaksamaan.
Dalam perancangan seterusnya, pasukan ini akan menyesuaikan IsyaratKafe bagi setiap kafe yang berminat melanggannya, dengan memasukkan reka bentuk dan menu kafe tersebut supaya aplikasi lebih eksklusif dan selari dengan identiti jenama kafe.
Menurut Dr. Muhammad Nur Hidayat Mohd Salim, idea IsyaratKafe tercetus daripada keprihatinan terhadap peluang pekerjaan golongan pekak dalam industri hospitaliti.
“IsyaratKafe bermula daripada satu soalan mudah, iaitu bagaimana kafe kecil boleh menggaji dan memberi peluang pekerjaan kepada barista pekak dengan yakin? Pengiktirafan ini menunjukkan inovasi yang inklusif juga boleh menjadi peluang perniagaan,” katanya.

Selain dua pasukan pemenang, pasukan SMEz turut melepasi saringan dan membentangkan inovasi mereka di Pentas CIPTA. Pasukan ini dianggotai pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara, STHEM, iaitu San Chee Hin, Lim Chew Hen, Lee Zhen Min, Tan Si Ming, Cheong Kai Yang dan Huan Tze Xuen, di bawah seliaan Dr. Lina Munirah Binti Kamarudin, Dr. Mohamad Sabri Bin Sinal dan Dr. Muhammad Fauzi Bin Mokhtar.













