Advertisement

84 Pelajar B40 Berbangsa India UMT Terima Sumbangan Komputer Riba

Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah

KUALA NERUS, 8 Julai 2026: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mengadakan Gimik Pengagihan Sumbangan Bantuan Peranti (Komputer Riba) kepada 84 orang pelajar daripada keluarga B40 berbangsa India yang sedang mengikuti pengajian di universiti ini.

Inisiatif hasil kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN) ini bertujuan memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi yang lebih inklusif, di samping memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada menikmati kemudahan pembelajaran digital.

Majlis simbolik penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, menerusi penyampaian komputer riba kepada wakil penerima. Bantuan ini diharapkan dapat menyokong proses pembelajaran, penyelidikan, penyediaan tugasan akademik serta meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengikuti ekosistem pendidikan digital.

Menurut Profesor Dr. Mohd Izani, kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan rakan strategik merupakan pemangkin penting dalam memperkasakan kebajikan pelajar.

“UMT amat menghargai keprihatinan dan komitmen MITRA serta Yayasan Didik Negara dalam membantu pelajar yang memerlukan. Sumbangan komputer riba ini bukan sahaja menyediakan akses kepada pembelajaran digital, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dan membina daya saing. Kami percaya setiap pelajar berhak menikmati peluang pendidikan yang saksama tanpa dibatasi kekangan sosioekonomi.”

Beliau turut menyatakanj bahawa UMT akan terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan strategik bagi memperluas peluang penajaan, bantuan kebajikan serta sokongan pembelajaran demi memastikan lebih ramai pelajar dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Dinesh a/l Ravindra Singh, pelajar Tahun Satu Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT, menyifatkan sumbangan tersebut sebagai pemangkin kepada kejayaan akademiknya.

“Komputer riba ini bukan sekadar sebuah peranti, malah menjadi pembuka peluang untuk saya belajar dengan lebih yakin dan berdaya saing. Saya amat menghargai keprihatinan MITRA, Yayasan Didik Negara dan UMT yang telah meringankan beban keluarga serta menyuntik semangat untuk saya mencapai kecemerlangan.”

Program ini mencerminkan sinergi yang kukuh antara UMT, MITRA dan Yayasan Didik Negara dalam memperluas akses pendidikan kepada golongan yang memerlukan. Kerjasama strategik ini diharapkan dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai graduan yang berdaya saing, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negara.