Advertisement

118 Mahasiswa UMT Hayati Aspirasi Malaysia MADANI

Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah

KUALA LIPIS, 25 Julai 2026: Program Mahasiswa Negara KPT Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Kenegaraan telah melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya. Program ini telah disertai oleh seramai 118 orang mahasiswa UMT, melibatkan 47 mahasiswa lelaki dan 71 mahasiswa perempuan. Penganjuran program ini bertujuan memupuk semangat patriotisme, memperkukuh kefahaman terhadap konsep kenegaraan Malaysia MADANI serta membentuk jati diri dan kepemimpinan dalam kalangan mahasiswa tahun pertama.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian berimpak tinggi yang merangkumi sesi pembentangan dan perbincangan berkaitan Malaysia MADANI, aktiviti taaruf, latihan kepemimpinan, simulasi interaksi kenegaraan, aktiviti luar yang menguji daya kepimpinan dan kerjasama berpasukan, selain sesi refleksi melalui aktiviti Smart Tunnel dan perbincangan harapan.

Majlis Perasmian Penutup Program telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dalam ucapannya, beliau menyampaikan bahawa mahasiswa perlu memiliki nilai tambah dalam kehidupan seharian agar mampu menjadi individu yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Beliau turut menyeru agar setiap mahasiswa memanfaatkan sepenuhnya pengalaman sepanjang berada di universiti sebagai medan untuk membina sahsiah, mengasah potensi diri serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkualiti.

Menurut beliau lagi, pembentukan mahasiswa yang cemerlang perlu berteraskan tiga nilai utama iaitu jati diri, patriotisme dan perpaduan. Nilai-nilai ini merupakan asas penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai semangat cintakan negara, mampu hidup dalam masyarakat majmuk serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam majlis yang sama, Saudara Anas Izuddin bin Che Mohamad Noji, selaku wakil peserta, telah menyatakan penghargaan mewakili seluruh mahasiswa yang menyertai program. Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pihak urus setia, fasilitator serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Program Mahasiswa Negara KPT Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI telah memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada para peserta. Program ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman mengenai konsep Malaysia MADANI dan kenegaraan, malah berjaya membentuk semangat kepemimpinan, meningkatkan keyakinan diri serta mengeratkan ukhuwah dan perpaduan antara mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Beliau berharap agar segala ilmu, pengalaman dan nilai murni yang diperoleh sepanjang program ini dapat terus diamalkan dalam kehidupan seharian serta menjadi panduan dalam melahirkan mahasiswa yang berintegriti, berjiwa patriotik dan bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.