Advertisement

Di Sebalik Impian ke Menara Ilmu: UPSI Santuni Khairina Uwaidah, Pelajar Baharu Pendidikan Kimia

LUMUT, 28 Ogos 2026 – Di sebalik kegembiraan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tersimpan kisah penuh keperitan bagi seorang anak muda yang hampir berdepan kesukaran untuk merealisasikan impian ke menara ilmu akibat kekangan kewangan keluarga.

Kisah Khairina Uwaidah binti Khairul Nizam, pelajar baharu yang ditawarkan mengikuti Program Pendidikan Kimia di UPSI, mendapat perhatian pihak universiti yang turun padang menziarahi kediamannya bagi menyampaikan bantuan awal kemasukan ke universiti.

Prof. Dr. Norkhalid Salimin bersama Khairul Nizam (ayah) dan Khairina

Lawatan prihatin tersebut diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, bersama Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Hj. Mohd Rafiq bin Mohd, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan anak bangsa yang bakal bergelar mahasiswa UPSI.

Khairina merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapanya, Khairul Nizam bin Zabrie, bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan, manakala ibunya, Aslina binti Osman, merupakan suri rumah sepenuh masa.

Dengan pendapatan yang sederhana, keluarga ini turut memikul tanggungjawab menyara tiga lagi anak. Anak sulung masih belum bekerja, manakala anak ketiga sedang menuntut di Tingkatan 4 dan anak bongsu pula berada di Darjah 6.

Dalam keadaan tersebut, persiapan untuk melangkah ke alam universiti bukanlah sesuatu yang mudah buat keluarga Khairina. Keperluan perjalanan, kelengkapan pengajian, persiapan awal kemasukan serta perbelanjaan sebagai mahasiswa menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Namun, keterbatasan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang anak untuk mendapatkan pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir bertanya khabar dengan Khairina dan keluarga

Atas keprihatinan tersebut, pihak UPSI melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga Khairina, khususnya dalam membuat persiapan sebelum memulakan pengajian.

Turut menjadikan kunjungan tersebut lebih bermakna, Khairina dan keluarganya telah disantuni oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, serta Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, yang turut menyampaikan kata-kata semangat dan dorongan kepada Khairina agar terus melangkah yakin dalam mengejar cita-citanya.

Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, yang turut menyampaikan kata-kata semangat dan dorongan kepada Khairina

Bagi Khairina dan keluarganya, kunjungan tersebut bukan sekadar sebuah lawatan, sebaliknya membawa makna yang cukup besar. Kehadiran warga UPSI ke kediaman mereka menjadi bukti bahawa universiti tidak hanya menunggu mahasiswa hadir ke kampus, malah bersedia mendekati, memahami dan membantu mereka yang memerlukan.

Pertemuan tersebut turut diselubungi rasa sebak apabila keluarga Khairina menerima perhatian dan sokongan daripada pihak universiti. Ia menggambarkan betapa besar nilainya sebuah keprihatinan kepada keluarga yang sedang berusaha memastikan anak mereka memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik.

Kisah Khairina menjadi cerminan bahawa di sebalik setiap nama yang tersenarai sebagai penerima tawaran ke universiti, terdapat perjuangan, pengorbanan ibu bapa dan impian sebuah keluarga yang mengharapkan masa depan lebih cerah buat anak mereka.

UPSI percaya bahawa tiada anak bangsa yang wajar tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana kekangan kewangan. Justeru, melalui pendekatan cakna dan prihatin, UPSI akan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya kepada pelajar daripada keluarga yang memerlukan.

Semoga bantuan dan sokongan yang disampaikan menjadi titik awal kepada perjalanan baharu Khairina Uwaidah dalam melangkah ke menara ilmu, seterusnya merealisasikan impian untuk menjadi seorang pendidik yang bukan sahaja membina masa depan generasi akan datang, malah mampu memberi kembali kepada masyarakat dan negara.