Advertisement

Semarak Demokrasi UUM Diwarnai Perarakan Mahasiswa Meriahkan Hari Penamaan Calon – MySiswaNow

Berita oleh Muhammad Aiman bin Mohd Amin Fauzan (JOC Media HEP)
Gambar oleh Media HEP

SINTOK, 20 Oktober — Perkarangan Dewan Serbaguna, Pusat Penginapan Pelajar (SAC) bertukar hangat dan meriah pagi tadi apabila ratusan mahasiswa berarak membanjiri laluan utama bagi meraikan Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sorakan semangat dan laungan slogan gerakan mengiringi setiap langkah para penyokong yang berhimpun seawal jam 8.00 pagi bagi menzahirkan pendirian serta sokongan padu terhadap calon-calon yang bertanding.

Perarakan kali ini diperhangatkan dengan kehadiran gerakan mahasiswa utama dan gerakan bebas. Dianggarkan seramai 100 hingga 200 orang mahasiswa memenuhi laluan perkarangan dewan dengan kibaran bendera warna-warni, kain rentang, serta sepanduk yang membawa pelbagai mesej aspirasi kepimpinan.

Masing-masing mempamerkan semangat persaingan yang sihat, di mana laungan slogan diselingi sorakan gemuruh, namun tetap berlangsung dalam suasana yang penuh terkawal dan mematuhi tatatertib kampus.

Sementara perarakan berlangsung di luar, petugas-petugas daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) UUM kekal fokus dan tekun mengendalikan proses pendaftaran di kaunter semakan penamaan calon.

Kawalan pergerakan penyokong diatur secara sistematik bagi memastikan laluan calon serta prosiding rasmi di dalam dewan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kehangatan hari penamaan calon ini turut diserikan dengan reaksi serta pandangan daripada warga kampus yang mengharapkan penganjuran PRK kali ini mampu melahirkan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berwibawa.

Pilihan Raya Kampus UUM merupakan proses demokrasi tahunan penting bagi memilih kepimpinan baharu MPP UUM yang akan memimpin suara mahasiswa bagi sesi akan datang.

Para calon dan pergerakan mahasiswa bakal bertanding memenangi hati mahasiswa UUM menerusi pelbagai wacana, pembentangan manifesto, serta siri jelajah sebelum hari pengundian dijalankan pada 28 Oktober 2026.

Total Views: 64