Oleh : JTNCHEPA UTMKL
PULAU PANGKOR, PERAK, 20 Oktober 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Misi Bantuan Banjir Pulau Pangkor, Perak pada 19 hingga 20 Oktober 2026 sebagai usaha menyantuni komuniti yang terjejas akibat banjir, di samping menyumbang tenaga dan bantuan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan.
Misi kemanusiaan ini mencerminkan komitmen UTM dalam membudayakan kesukarelawanan serta memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat. Pelaksanaan misi turut membuka ruang kepada warga universiti, khususnya mahasiswa, untuk turun padang, memahami cabaran yang dihadapi komuniti setempat dan memainkan peranan secara langsung dalam membantu proses pemulihan selepas bencana.

Misi ini disertai oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan bin Abu, Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Al’ikhsan bin Ghazali, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Kuala Lumpur. Seramai 15 orang pegawai dan 35 orang sukarelawan mahasiswa UTM turut terlibat dalam pelbagai aktiviti bantuan sepanjang misi berlangsung.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman yang terjejas, gotong-royong membersihkan ruang yang dipenuhi sisa banjir serta membantu mengalihkan barangan yang terkesan. Sukarelawan turut berganding bahu mengangkat dan memindahkan barangan rumah, termasuk peralatan dan kelengkapan yang memerlukan tenaga tambahan untuk dibersihkan serta disusun semula.

Selain kerja pembersihan, misi ini turut melibatkan penyaluran bantuan barangan asas bagi membantu memenuhi keperluan penduduk yang terjejas. Kehadiran sukarelawan di kawasan kediaman penduduk bukan sahaja menyumbang dari segi tenaga, malah menjadi tanda sokongan moral kepada komuniti yang sedang berusaha memulihkan kehidupan harian mereka selepas berhadapan dengan kesan banjir.
Kerjasama yang ditunjukkan oleh para pegawai dan mahasiswa sepanjang misi berlangsung memperlihatkan semangat berpasukan, keprihatinan dan kesediaan untuk membantu tanpa mengira cabaran. Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti lapangan seperti ini juga memberi pengalaman bermakna dalam membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial, kepimpinan dan kemahiran bekerja secara kolektif.

Misi ini turut membawa mesej bahawa peranan universiti tidak terhad kepada penyampaian ilmu dan pembangunan akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi tanggungjawab sosial terhadap kesejahteraan masyarakat. Melalui inisiatif kesukarelawanan, mahasiswa berpeluang mengaplikasikan nilai murni dalam situasi sebenar serta memahami kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat, khususnya ketika berhadapan dengan bencana.
Diharapkan pelaksanaan Misi Bantuan Banjir Pulau Pangkor ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas dan menyuntik semangat kepada mereka untuk meneruskan usaha pemulihan. Pada masa yang sama, usaha ini diharap dapat terus menyemarakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga UTM serta melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah prihatin, berjiwa masyarakat dan bersedia menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Artikel ini diterbitkan pertama kali di FB HEPA UTMKL












