Berita dan gambar oleh: Muhammad Luqman Hakim Rosdi
SUNGAI PETANI – Dalam usaha menyokong masa depan yang lebih mampan dan memelihara alam sekitar, Perodua bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau di Tapak Penanaman Merbok, Sungai Petani, semalam.
Perodua dhadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk JH Rozman Jaafar dan Pengurus Besar Bahagian Hubungan Korporat dan Komunikasi, Sulasi Mahadi, manakala UUM dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

Inisiatif kelestarian ini dijayakan oleh 50 sukarelawan UUM bersama barisan sukarelawan dari Ibu Pejabat Perodua yang Berjaya menanam 2,500 anak pokok bakau.
Usaha murni ini turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada Pusat Kerjasama Universiti-Universiti (CUIC) UUM, Pejabat Kelestarian UUM, dan Inapan Siswa (Inasis) Perodua.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Datuk JH Rozman dan diteruskan dengan sesi taklimat program yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Raffi Ismail.

Bagi membangkitkan semangat sebelum penanaman bermula, kesemua peserta turut menyertai sesi pemanasan badan dan senaman ‘Taisho’ yang diketuai oleh pasukan Perodua.
Langkah-langkah kecil melalui usaha sama strategik ini diharapkan dapat berkembang menjadi impak yang berkekalan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memelihara ekosistem semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.












