BANGKOK – Pelajar Komunikasi, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang menyelami landskap media Thailand menerusi sesi dialog dan lawatan industri ke 101Media Thailand dan Radio Thailand sempena Global Academic and Volunteer Trips: Thailand 2026 (GO-THAI’26).
Kunjungan ke dua organisasi media itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perbezaan operasi media bebas dan penyiaran radio, selain membuka ruang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan pengamal industri serta memahami perkembangan dan cabaran semasa dunia media di Thailand.
Di 101Media Thailand, pelajar mengikuti sesi dialog mengenai pengoperasian media bebas dan pendekatan organisasi itu dalam menghasilkan kandungan untuk khalayak digital. Lawatan ke Radio Thailand pula memberi pengalaman lebih praktikal apabila peserta didedahkan kepada operasi penyiaran serta berpeluang mencuba aktiviti membaca berita dan drama radio.

Penasihat Persatuan Komunikasi (PERKOM), Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, lawatan industri antarabangsa memberi peluang kepada mahasiswa melihat sendiri bagaimana organisasi media beroperasi dalam konteks sosial dan budaya yang berbeza.
“Pengalaman ini penting kerana pembelajaran komunikasi tidak seharusnya hanya berlaku di dalam kelas. Pelajar perlu bertemu pengamal industri, bertanya dan melihat sendiri proses kerja supaya mereka mempunyai gambaran lebih luas mengenai bidang yang bakal diceburi.
“Pada masa sama, pendedahan antarabangsa seperti ini boleh membuka pemikiran mereka terhadap peluang kerjaya dan latihan industri di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah GO-THAI’26, Nur Atikah Hasril berkata, program tersebut merupakan antara acara tahunan PERKOM yang menyediakan platform kepada mahasiswa Komunikasi untuk memperoleh pengalaman pembelajaran di luar kampus menerusi jaringan industri, akademik, kesukarelawanan dan silang budaya.
Menurutnya, pemilihan organisasi media sebagai sebahagian daripada pengisian GO-THAI’26 selari dengan bidang pengajian peserta dan membolehkan mereka membandingkan pengetahuan yang dipelajari di universiti dengan amalan sebenar industri media di negara lain.


GO-THAI’26 merupakan program mobiliti tidak berkredit yang menghimpunkan pelajar Komunikasi SMMTC UUM dalam pelbagai aktiviti di Thailand dengan memberi penekanan kepada pendedahan antarabangsa, pembangunan profesional dan pengalaman pembelajaran berasaskan industri.
Gambar dan berita oleh: Muhammad Kamal Fandi












