Advertisement

Mahasiswa UTeM Raih Emas dan Perak di Indonesia

oleh : Netty Muhalizza binti Mohd Fadzil

MELAKA, 18 Mei – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat emas dan perak dalam program Global Leadership and Well-Being Immersion 2026 yang berlangsung di Universitas Ahmad Dahlan, Yogyakarta, Indonesia dari 23 hingga 30 April lalu.

Pingat emas berjaya diraih menerusi pembentangan bertajuk Best Practice in Green Leadership Development: UTeM’s Lake Sustainability Program oleh Muhammad Haziq Damia Mohd Rizal dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) bersama Muhammad Hifzhan Muhammad Fauzi dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

UTeM turut mencatat satu lagi kejayaan apabila Siti Shahida Sulani dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) bersama Nur Ameera Safera Muhammad Ikhwan dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) berjaya membawa pulang pingat perak menerusi projek Nasi Dagang Explorer: A Student-Led Cultural Leadership Initiative.

Program berprestij itu menghimpunkan penyertaan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia sekali gus menjadi platform pembangunan kepimpinan global serta kesejahteraan mahasiswa.

Profesor Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM berkata, “Pencapaian ini membuktikan mahasiswa UTeM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah sebagai pemimpin muda yang membawa nilai kelestarian, kesejahteraan dan identiti budaya ke pentas antarabangsa.”

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk Regional Global Leadership for Sustainable Economy & Well-Being, Peers Support & Helping Skills Certification, Program Community Well-Being & Volunteerism Action serta Youth Goodwill & Community Engagement.

Kejayaan tersebut membuktikan kemampuan mahasiswa UTeM dalam mengetengahkan elemen kepimpinan lestari serta budaya tempatan ke peringkat antarabangsa selari dengan usaha universiti melahirkan graduan berdaya tahan dan berimpak tinggi.