Oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dan Nazratul Hazirah Rushdan
JOHOR BAHRU, 17 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menzahirkan komitmen tinggi terhadap kebajikan pelajar apabila mengadakan sesi ziarah prihatin ke atas seorang pelajar tahun akhir daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di sekitar Skudai pada 12 Mac 2026.
Ziarah tersebut dilaksanakan melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sebagai salah satu inisiatif berterusan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi kecemasan dan tidak dijangka. Inisiatif ini turut memperlihatkan kekuatan ekosistem sokongan pelajar di UTM yang melibatkan pelbagai entiti termasuk jabatan berkaitan, kolej kediaman, Pusat Islam serta jaringan alumni. Sinergi ini membolehkan bantuan disalurkan dengan pantas dan berkesan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi mencabar.
Lawatan berkenaan telah diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama barisan kepimpinan jabatan. Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Dr. Amirjan Nawabjan, Pengetua Kolej Tuanku Canselor (KTC), serta beberapa pegawai dan staf sokongan.

Kehadiran wakil universiti ini bukan sahaja bertujuan meninjau keadaan pelajar yang terlibat, malah sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan institusi terhadap kesejahteraan pelajar yang sedang berdepan cabaran kesihatan dan emosi akibat insiden tersebut.
Dalam sesi ziarah itu, pihak universiti berkesempatan mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan pelajar serta memastikan segala keperluan asas termasuk aspek kebajikan, kesihatan dan sokongan emosi diberikan perhatian sewajarnya. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi universiti dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran yang holistik dan berfokus kepada kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
Sebagai langkah segera, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar berkenaan. Antaranya termasuk sumbangan Dana Kecemasan yang disalurkan oleh Pusat Islam UTM melalui Unit Zakat dan dikreditkan terus ke akaun pelajar bagi membolehkan bantuan dimanfaatkan dengan segera.

Selain itu, Seksyen Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib (SKKT) turut memainkan peranan penting dengan membantu menampung kos tiket penerbangan bagi memudahkan pelajar pulang ke kampung halaman. Inisiatif ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pelajar, malah membolehkan beliau mendapatkan sokongan keluarga sepanjang tempoh pemulihan.
Dalam masa yang sama, pihak KTC turut menguruskan aspek logistik termasuk penghantaran pelajar ke lapangan terbang bagi membolehkan beliau pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Menurut Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, pendekatan proaktif seperti ini selaras dengan prinsip universiti yang menitikberatkan kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan.
“UTM sentiasa komited untuk memastikan setiap pelajar berada dalam keadaan yang baik dari segi kebajikan dan sokongan, terutamanya apabila berdepan situasi mencabar. Bantuan yang disalurkan bukan sahaja melibatkan aspek kewangan, malah turut merangkumi sokongan moral dan emosi agar pelajar dapat melalui fasa tersebut dengan lebih tabah,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha ini termasuk keluarga Maliki, seorang graduan UTM yang telah menyumbang bantuan kepada pelajar berkenaan. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh alumni ini mencerminkan nilai kebersamaan yang kukuh dalam komuniti universiti serta membuktikan bahawa hubungan antara universiti dan alumni terus terjalin melalui sokongan berterusan kepada generasi pelajar.
Lebih daripada sekadar lawatan, program ziarah ini mencerminkan budaya penyayang dan empati yang menjadi teras kepada nilai ADAB UTM. Nilai ini menekankan kepentingan sikap prihatin, hormat-menghormati, tanggungjawab serta semangat saling membantu dalam kalangan warga universiti.
UTM percaya bahawa pembentukan graduan holistik bukan sahaja bergantung kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kepada pembinaan nilai kemanusiaan yang tinggi. Sehubungan itu, inisiatif seperti ini menjadi medium penting dalam memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh jaringan sokongan dalam komuniti kampus.
Seiring dengan usaha memperkasa kesejahteraan pelajar, seluruh warga universiti diseru untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam menyokong rakan pelajar yang memerlukan. Sama ada melalui sokongan moral, bantuan kewangan mahupun tindakan kecil yang membawa makna besar, setiap usaha adalah penting dalam membina persekitaran kampus yang inklusif, sejahtera dan berempati.
Sumber: UTM NewsHub












