Oleh : Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng dan Mohideen Kutty Omar
JOHOR BAHRU, 20 Jun – Pasukan kursus kokurikulum Pembuatan Perabot (ULRF 2482) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul johan dalam Pertandingan Pameran Keterlibatan Komuniti dan Karnival Kokurikulum (CESCO) 5.0 2026 menerusi projek khidmat masyarakat bertajuk Membangun Ruang Sensori untuk Murid Berkeperluan Khas, yang memberi manfaat kepada komuniti sekolah.

Pertandingan yang berlangsung di L50, UTM Johor Bahru itu menyaksikan pasukan yang dianggotai 41 mahasiswa berjaya menarik perhatian panel penilai menerusi pembentangan projek berimpak tinggi yang menggabungkan kemahiran reka bentuk, pertukangan kayu serta penglibatan komuniti.

Projek tersebut telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pulai Emas, Johor Bahru pada 6 Jun 2026 dengan objektif mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, interaktif dan mesra pengguna untuk murid berkeperluan khas, termasuk mereka yang mempunyai autisme, disleksia dan Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
Menerusi projek ini, mahasiswa mengaplikasikan kemahiran reka bentuk dan pertukangan kayu untuk membina kemudahan wall climbing yang bertujuan merangsang perkembangan motor kasar murid. Selain itu, mereka turut membaik pulih perabot sedia ada serta menambah baik ruang pembelajaran bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan menyokong proses pembelajaran.

Pengarah Program, Amirah Aina Zakari, menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen, kerjasama serta dedikasi seluruh ahli pasukan.
“Walaupun persaingan dalam CESCO 5.0 sangat sengit, perkara yang paling bermakna bagi kami ialah peluang untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti. Kami berharap projek ruang sensori ini dapat terus memberikan impak positif kepada perkembangan murid berkeperluan khas di SK Taman Pulai Emas,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, Nur Hannis Nor Arshard, berkata antara cabaran utama yang dihadapi pasukan adalah memastikan aspek keselamatan, pemilihan bahan dan tempoh pelaksanaan projek dipenuhi mengikut perancangan.
“Pembinaan kemudahan wall climbing serta penambahbaikan ruang pembelajaran memerlukan penelitian dari segi struktur, pemilihan bahan dan kemasan akhir bagi memastikan ia selamat serta sesuai digunakan oleh murid,” jelasnya.
Menurut Pensyarah Kursus Pembuatan Perabot (ULRF 2482), Mohideen Kutty Omar, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan menerusi kursus kokurikulum UTM.
Beliau menyifatkan inisiatif mahasiswa itu sebagai contoh terbaik pelaksanaan pembelajaran berasaskan komuniti yang menggabungkan kemahiran teknikal, kreativiti dan nilai tanggungjawab sosial.
“Program seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sambil membina hubungan strategik dengan komuniti, khususnya dalam penyediaan fasiliti pembelajaran untuk murid berkeperluan khas. Inisiatif seumpama ini wajar diteruskan agar lebih ramai pihak dapat menerima manfaat daripada kepakaran dan kreativiti mahasiswa,” katanya.

Mengulas perancangan masa hadapan, pasukan Pembuatan Perabot berharap projek seumpama itu dapat diperluas ke lebih banyak institusi pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menyediakan kemudahan pembelajaran yang selamat, inklusif dan mesra pengguna untuk golongan berkeperluan khas.

Kejayaan pasukan Pembuatan Perabot dalam CESCO 5.0 2026 membuktikan bahawa kursus kokurikulum di UTM bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menjadi platform pembangunan mahasiswa yang menggabungkan kemahiran teknikal, kreativiti, kepimpinan dan tanggungjawab sosial. Melalui projek ini, mahasiswa berjaya membuktikan bahawa kepakaran yang dimiliki mampu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak nyata kepada komuniti, sekali gus memperkukuh peranan UTM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
Sumber: UTM NewsHub












