Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
SHAH ALAM, 17 Mei – Atlet memanah compound negara, Mohamad Syafiq Md. Ariffin, 26, membuktikan bahawa komitmen tinggi di pentas sukan bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan akademik apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) pada Istiadat Konvokesyen ke-104 Universiti Teknologi MARA di Shah Alam.

Gambar 1: Mohamad Syafiq menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains sukan dari UiTM
Anak kelahiran Terengganu itu menjadi simbol ketahanan mental, disiplin dan semangat juang tinggi hasil perjalanan beliau sebagai atlet pelajar yang berjaya mengimbangi tuntutan akademik serta karier sukan di peringkat antarabangsa.
Menurut Syafiq, perjalanan akademiknya bukan sesuatu yang mudah apabila beliau terpaksa memanjangkan tempoh pengajian sekali bagi memberi laluan kepada jadual latihan intensif dan penyertaan dalam pertandingan antarabangsa.
Menceritakan cabaran yang dilalui, beliau berkata rutin hariannya dipenuhi dengan kelas pada waktu pagi sebelum menyertai sesi latihan intensif pada sebelah petang yang menuntut tahap kesabaran dan ketahanan mental yang tinggi.
“Yang penting tamat dan berjaya menamatkan pengajian. Atlet pelajar memang kena kental sikit sebab perlu bijak urus masa antara kelas dan latihan,” katanya.
Minat Syafiq terhadap sukan memanah bermula seawal usia 10 tahun sebelum bakatnya terus berkembang apabila mewakili negeri di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan seterusnya terpilih menyertai skuad kebangsaan.

Gambar 2: Gelajat Syafiq seakan-akan melepaskan anak panah.
Beliau kemudian mengambil keputusan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada sukan memanah selepas menyedari potensinya untuk terus mewakili negara di peringkat lebih tinggi.
Prestasi Syafiq di arena sukan turut membanggakan apabila pernah meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak sebelum menambah koleksi satu pingat emas dan dua pingat perak pada edisi SUKMA berikutnya.

Gambar 3: Syafiq bersama pasukan berentap di padang dalam acara memanah
Di peringkat antarabangsa pula, beliau membantu skuad memanah negara meraih pingat gangsa berpasukan pada Sukan Asia Hangzhou 2023 serta memenangi pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.
Kini, dengan ijazah di tangan, Syafiq bakal membawa cabaran negara ke kejohanan World Cup Stage 3 di Antalya, Turki pada awal bulan hadapan sebelum memberi fokus kepada temasya sukan utama di Jepun menjelang Oktober nanti.
Mengakhiri perkongsiannya, beliau menitipkan pesanan kepada atlet pelajar lain agar terus cekal dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.
“Perjalanan dalam dunia sukan bukan mudah kerana kita perlu membahagikan masa antara kelas, latihan dan pertandingan. Teruskan berjuang dan percaya setiap usaha membuahkan hasil pada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi berkata kejayaan Syafiq membuktikan mahasiswa UiTM mampu mencapai kecemerlangan secara holistik.
“Pencapaian saudara Mohamad Syafiq adalah bukti nyata bahawa mahasiswa kita mampu cemerlang secara holistik. Pihak universiti sentiasa komited menyediakan sokongan yang menyeluruh bagi memastikan atlet pelajar kita mampu mengimbangi tuntutan akademik dan juga sukan bertaraf antarabangsa dengan jayanya,” katanya.
Sumber dan gambar: Berita RTM, BH Online, Kosmo












