Oleh Nazratul Hazirah Rushdan dan Mohd Rashdan Abdul Kadir
REMBAU, 28 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan kebajikan pelajar dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat menerusi penganjuran Program Community Outreach UTM yang berlangsung di daerah Rembau, Negeri Sembilan.
Program di bawah naungan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA) itu menggabungkan dua pengisian utama, iaitu Program Ziarah Kasih anjuran Seksyen Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib (SKKT) bersama Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), serta perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti yang dikendalikan oleh Pusat Kesihatan UTM dengan kerjasama Team Sport Massage UTM.
Program tersebut turut mendapat sokongan kepimpinan tertinggi universiti yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan; Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, bersama barisan pegawai kanan universiti.
Melalui Program Ziarah Kasih, delegasi universiti telah turun padang menziarahi dua keluarga pelajar daripada kategori B40 di sekitar daerah Rembau. Lawatan tersebut bertujuan menyantuni keluarga pelajar, memahami cabaran yang dihadapi, di samping menyalurkan bantuan dan sokongan yang diperlukan.
Antara pelajar yang menerima kunjungan ialah Muhammad Haiqal Mohd. Ismail di Kampung Semerbok, Astana Raja dan Nurul Afiqah Mustaffa Kamal di Kampung Pulau Acheh, Chengkau.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar berkata, program seumpama itu membolehkan universiti memahami situasi sebenar yang dihadapi pelajar dan keluarga mereka secara lebih dekat.
“Program seperti ini membolehkan universiti memahami keperluan sebenar pelajar dan keluarga mereka secara lebih dekat, sekali gus memastikan bantuan yang diberikan lebih berkesan,” katanya.
Bagi Muhammad Haiqal, kehadiran delegasi universiti ke kediamannya membawa makna yang besar kepada beliau dan keluarganya.
“Semestinya Ziarah Kasih ini banyak membantu keluarga yang tinggal di kampung, khususnya apabila ibu bapa tidak mempunyai pendapatan tetap atau hanya bekerja di kampung. Bantuan seperti ini dapat mengurangkan beban keluarga,” katanya.
Beliau turut berharap agar inisiatif seperti Ziarah Kasih dapat diteruskan dan diluaskan kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih banyak keluarga.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, universiti sentiasa komited memastikan setiap pelajar berpeluang mengembangkan potensi diri tanpa dibatasi oleh latar belakang sosioekonomi.
“Kekuatan sesebuah negara bergantung kepada bakat, bukan latar belakang. Sebab itu UTM komited memastikan kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, kebajikan pelajar akan terus menjadi antara keutamaan universiti menerusi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan yang disalurkan secara berterusan kepada mereka yang memerlukan.

Selesai sesi ziarah, program diteruskan dengan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti di Masjid Kariah Pulau Mampat. Program tersebut memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Pusat Kesihatan UTM dan Team Sport Massage UTM.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan asas, pemeriksaan pergigian, urutan sukan serta perkongsian ilmu berkaitan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan fizikal. Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat.

Program berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada penduduk yang hadir. Mereka menyifatkan inisiatif seperti ini amat membantu, khususnya bagi penduduk luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan.

Secara keseluruhannya, penganjuran Program Community Outreach UTM 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kebajikan pelajar dan menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berimpak. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat dalam merealisasikan agenda kesejahteraan bersama.













