Advertisement

INASIS Proton UUM Perkukuh Jaringan Global Menerusi KKN Antarabangsa di Binjai

BINJAI: INASIS Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan mahasiswa menerusi penyertaan dalam Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa di Kota Binjai, Sumatera Utara, Indonesia.

Program yang diselaraskan oleh Indonesian Regional Coordinator, International Association Economics & Business (IAEB) itu menghimpunkan delegasi UUM bersama mahasiswa daripada 14 institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Majlis sambutan dan pembukaan rasmi program disempurnakan oleh Asisten Administrasi Umum Sekretariat Daerah Kota (Setdako) Binjai, Dr Eka Edi Saputra, M.M., yang mewakili Wali Kota Binjai, di Aula Pemerintah Kota Binjai, Sabtu lalu.

Program bertemakan “Youth in Action: Driving Sustainable and High-Impact Community Service” itu berlangsung dari 13 hingga 21 Ogos 2026, dengan aktiviti khidmat komuniti dilaksanakan di Kelurahan Tanah Seribu, Kecamatan Binjai Selatan.

Penyertaan delegasi UUM adalah sebahagian daripada INASIS Proton UUM International Outbound Mobility: Global Management and Multicultural Leadership Exchange Programme, yang dirangka bagi memperkasa kepemimpinan global, kemahiran pengurusan rentas budaya serta penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat antarabangsa.

Sebanyak 14 institusi pendidikan tinggi Indonesia terbabit dalam program itu, iaitu Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah, Universitas Pembinaan Masyarakat Indonesia, UIN Sumatera Utara, Universitas Audi Indonesia, STIE Miftahul Huda Subang, STIT Al-Washliyah Binjai dan STAIS Darussalam Kunir.

Turut mengambil bahagian ialah Universitas Dr. Soetomo Surabaya, Universitas Malikussaleh Lhokseumawe, UIN Syekh Ali Hasan Ahmad Addary Padang Sidempuan, STIT Batubara, UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Universitas Surya Kencana Cianjur dan STKIP Budidaya Binjai.

Eka Edi dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan berharap program berkenaan dapat menjadi wadah perkongsian ilmu, pengalaman serta budaya, selain mengeratkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi merentas negara.

Beliau berkata, Pemerintah Kota Binjai sentiasa mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi, pertubuhan dan badan antarabangsa bagi menjayakan pelbagai inisiatif yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Kerjasama seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada usaha membangunkan Kota Binjai yang lebih maju, sejahtera dan mampan.

“Semua peserta juga diseru supaya melaksanakan setiap aktiviti dengan penuh tanggungjawab, menjaga nama baik institusi, menghormati adat serta budaya masyarakat setempat dan memanfaatkan peluang ini untuk menimba ilmu serta berkongsi pengalaman,” katanya.

Sementara itu, Pengetua INASIS Proton UUM, Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin, berkata penyertaan dalam program berkenaan membuka ruang kepada mahasiswa UUM untuk mengaplikasikan ilmu, memupuk keupayaan memimpin serta meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam persekitaran sebenar.

“Program ini bukan sekadar lawatan ke luar negara, sebaliknya satu proses pembelajaran berimpak tinggi yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendampingi komuniti, melaksanakan khidmat bakti dan membina jaringan dengan rakan institusi dari Indonesia.

“Pengalaman ini diharap dapat membentuk mahasiswa yang lebih matang, berkeyakinan dan berfikiran global, selain memiliki kepekaan yang tinggi terhadap keperluan masyarakat,” katanya.

Sepanjang program, delegasi INASIS Proton menyertai seminar antarabangsa, program pensyarah dan pelajar pelawat, aktiviti khidmat komuniti di Kampung Tahu, lawatan ke pusat pertanian serta program pertukaran akademik bersama beberapa institusi pendidikan tinggi di Medan dan Binjai.

Peserta turut menyertai aktiviti pengenalan budaya, pertandingan masakan tradisional dan sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia bagi memperkukuh persefahaman serta hubungan silang budaya antara mahasiswa Malaysia dengan Indonesia.

Lawatan akademik turut diadakan ke Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah, Universitas Budi Daya, Universitas Al-Washliyah Binjai dan Universitas Islam Sumatera Utara.

Delegasi turut berpeluang mengunjungi Masjid Raya Medan, Istana Maimun dan Danau Toba bagi mendalami warisan sejarah, budaya serta kehidupan masyarakat Sumatera Utara.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan INASIS Proton dan UUM dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa, memperkasa pembangunan mahasiswa serta melahirkan graduan berdaya saing, berkepemimpinan dan berfikiran global.