oleh Mohamad Shuib Bin Ismail
Tanjong Malim, 22 Julai 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) telah menganjurkan Program Dapur Kasih Bitara Siri 11/2026 pada 22 Julai 2026 (Rabu) sebagai salah satu inisiatif kebajikan dalam menyantuni keperluan pelajar.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara BHEP dan Fakulti yang terlibat bertujuan memperkukuh usaha kebajikan pelajar melalui pengagihan makanan kepada warga pelajar UPSI. Makanan yang diedarkan telah disediakan hasil kerjasama kedua-dua pihak sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar.

Timbalan Pendaftar BHEP, En. Anizan Md Noor memaklumkan bahawa jumlah makanan yang dimasak pada hari ini dapat diagihkan kepada 1500 orang pelajar. “Alhamdulillah, hari ini warga FTV yang diketuai Dekan dan Majlis Perwakilan Pelajar bersama-sama pada edisi dapur siswa kali. Semangat kerjasama dan prihatin akan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kami semua” ujar beliau.

Inisiatif seperti Dapur Kasih Bitara bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang prihatin, inklusif dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.
BHEP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan jalinan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat dan kesejahteraan warga pelajar UPSI.













