Oleh: Nurul Iffah Binti Kyoldon & Nor Hayati Aziz
Universiti Pendidikan Sultan Idris, 27 Jun – Program Strong 100: Kursus Bahasa Mandarin Tahap 2 berjaya dilaksanakan bermula Februari hingga Jun 2026 sebagai kesinambungan kepada Kursus Bahasa Mandarin Tahap 1 dalam usaha memperkukuh penguasaan bahasa asing serta meningkatkan kompetensi komunikasi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program anjuran Exco Wacana Intelek, Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) UPSI ini telah berlangsung selama 10 minggu dengan sesi pembelajaran selama dua jam pada setiap hari Sabtu. Kursus tersebut dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Puan Nor Akmal binti Othman, dan melibatkan penyertaan seramai 20 orang mahasiswa bagi memastikan proses pembelajaran yang lebih efektif dan bimbingan yang optimum.
Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta didedahkan kepada penguasaan empat kemahiran bahasa utama iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, sistematik dan berpusatkan pelajar. Kandungan pembelajaran merangkumi sebutan Hanyu Pinyin, penguasaan kosa kata, pembinaan ayat, tatabahasa serta komunikasi harian yang diaplikasikan melalui pelbagai aktiviti seperti latihan dialog, simulasi situasi sebenar, perbincangan berkumpulan dan tugasan praktikal.
Bagi memastikan objektif pembelajaran dicapai, penilaian dilaksanakan secara berterusan melalui ujian bertulis dan ujian lisan yang membolehkan perkembangan kemahiran bahasa peserta dinilai secara menyeluruh.

Selain meningkatkan penguasaan bahasa, kursus ini turut mengintegrasikan elemen budaya masyarakat Cina bagi memperkukuh kompetensi komunikasi antara budaya. Peserta didedahkan kepada aspek nilai, norma sosial dan etika masyarakat Cina agar mereka memahami bahawa penguasaan bahasa asing perlu disertai dengan kefahaman terhadap budaya penuturnya. Pendekatan ini secara tidak langsung membentuk sikap saling menghormati kepelbagaian budaya serta meningkatkan keupayaan mahasiswa berinteraksi dalam persekitaran masyarakat majmuk dan global.
Sepanjang 10 minggu pelaksanaan, peserta menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat pembelajaran yang tinggi. Penglibatan aktif dalam setiap sesi bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerja berpasukan, kepimpinan, pemikiran kritis, kreativiti serta penyelesaian masalah.
Sebagai kemuncak program, para peserta menyertai Program D.U.M.P. (Dari Uli Menjadi Perfect) pada 27 Jun 2026 yang menggabungkan pembelajaran bahasa dengan pengalaman budaya secara autentik. Melalui aktiviti penyediaan dumpling, peserta berpeluang mempraktikkan penggunaan Bahasa Mandarin dalam situasi sebenar ketika berinteraksi bersama tenaga pengajar, jawatankuasa dan rakan-rakan. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini berjaya menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna dan berkesan.

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, berkata penganjuran program seperti ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki nilai tambah melalui penguasaan bahasa asing dan kompetensi komunikasi antara budaya.
“Penguasaan bahasa asing merupakan satu kelebihan yang mampu meningkatkan daya saing mahasiswa di peringkat global. Program seperti Strong 100 bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi, malah membentuk keyakinan diri, keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya serta kesiapsiagaan mahasiswa untuk menghadapi cabaran dunia pendidikan dan pasaran pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.
Secara keseluruhannya, Program Strong 100: Kursus Bahasa Mandarin Tahap 2 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Mandarin melalui gabungan pembelajaran teori, latihan praktikal, pengalaman autentik dan penghayatan budaya. Kejayaan program ini membuktikan komitmen UPSI dalam menyediakan platform pembangunan kompetensi bahasa asing yang mampu melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran di peringkat antarabangsa.












