Advertisement

Upacara Konvokesyen Ke-64 Universiti Sains Malaysia : Sidang 1

Oleh: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

Pulau Pinang, 24 November 2026 – Upacara Konvokesyen Ke-64 Universiti Sains Malaysia membuka tirainya hari ini dengan penuh istiadat dalam Sidang Pertama yang disempurnakan oleh Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda ke Dewan Tuanku Syed Putra, Kampus Induk di sini, turut diiringi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Istiadat pembukaan kali ini menyaksikan pengurniaan gelaran tertinggi akademik iaitu Profesor Emeritus kepada Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak dan Profesor Emerita kepada Dr. Tan Sooi Beng sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

Pada majlis yang sama, kecemerlangan akademik peringkat prasiswazah turut diraikan menerusi penganugerahan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Tharmin dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

Selain itu, Tuanku Canselor turut berkenan menyempurnakan penganugerahan ijazah tinggi kepada 13 graduan yang hadir, mewakili enam program Sarjana baharu yang diperkenalkan oleh USM. Mereka terdiri daripada graduan program Sarjana Sains dalam Pembungkusan Semikonduktor Termaju, Sarjana Sains dalam Pengurusan Kejuruteraan Pembuatan Termaju, Sarjana Sains Pergigian, Sarjana Teknologi Bioproses, Sarjana Keselamatan Siber serta Sarjana Reka Bentuk dan Teknologi Pembelajaran.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, mewakili seluruh warga kampus menzahirkan ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah serta graduan atas kejayaan yang dikecapi.

Turut menyerikan istiadat penuh bersejarah itu ialah Pro-Pro Canselor USM, Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, barisan Pengurusan Tertinggi, pegawai-pegawai utama universiti, serta Ahli Jawatankuasa Upacara Konvokesyen Ke-64 USM.

Total Views: 1