Advertisement

Tujuh Dapur Siswa MADANI, Nafas Lega Mahasiswa UiTM Perlis

Oleh: Ahmad Muaz Mahzair

ARAU, 23 November 2026 – Ketika peningkatan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada perbelanjaan harian mahasiswa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis tampil dengan penyelesaian praktikal menerusi penyediaan tujuh unit Dapur Siswa MADANI bagi membantu pelajar mengurangkan kos pemakanan sepanjang pengajian.

Kemudahan tersebut memberi peluang kepada mahasiswa menyediakan makanan sendiri dengan lebih menjimatkan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian makanan di luar kampus.

Perasmian tujuh unit Dapur Siswa MADANI itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya, dalam satu majlis yang berlangsung di Kolej Kediaman Dahlia 3, UiTM Cawangan Perlis.

Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya menandatangani plak perasmian Dapur Siswa MADANI di UiTM Cawangan Perlis.

Inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan antara langkah memperkukuh kebajikan mahasiswa, khususnya dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dan peningkatan perbelanjaan harian di institusi pendidikan tinggi.

Dato’ Dr. Fathul Bari menekankan bahawa penyediaan kemudahan asas seperti Dapur Siswa MADANI merupakan pendekatan praktikal untuk memastikan aspek kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian.

“Dapur Siswa MADANI bukan sekadar kemudahan memasak, tetapi manifestasi keprihatinan kerajaan dan universiti dalam memastikan keterjaminan makanan mahasiswa terus terpelihara, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada pengajian tanpa terlalu dibebani tekanan kewangan,” katanya.

Sebahagian mahasiswa yang turut hadir menyaksikan majlis pelancaran 7 Dapur Siswa MADANI di kampus UiTM Arau, Perlis

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, inisiatif berkenaan turut melengkapi agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang memberikan penekanan terhadap kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa secara menyeluruh.

“Keutamaan HEP bukan sekadar menyediakan kemudahan, tetapi memastikan setiap inisiatif benar-benar membantu kehidupan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, agar tiada pelajar terpinggir daripada peluang untuk berjaya dalam pengajian,” katanya.

Lebih daripada sekadar menyediakan ruang memasak, kemudahan berkenaan turut berperanan memupuk budaya berjimat cermat, pengurusan kewangan berhemah dan semangat kebersamaan dalam kalangan penghuni kolej kediaman.

Penyediaan tujuh unit dapur itu juga memperlihatkan komitmen UiTM Cawangan Perlis dalam memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk meneruskan pengajian dalam persekitaran kampus yang kondusif.

Tetamu kehormat dan pengurusan kampus UiTM Perlis mencuba memasak di Dapur Siswa MADANI lengkap dengan kemudahan disediakan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif universiti.

Hadir sama, Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Puan Hajah Ikhwana Haji Misnan; Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar merangkap mantan Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UiTM, Dr. Firdaus Mohamad; serta Penolong Pendaftar Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Ahmad Muaz Mahzair, bersama staf residensi dan mahasiswa.

Pelaksanaan inisiatif tersebut turut menyokong usaha universiti membangunkan ekosistem kebajikan kampus yang lebih inklusif dengan menyediakan kemudahan asas yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh mahasiswa.

Dato’ Dr. Fathul Bari dan Prof. Sazili berpeluang mengedarkan makanan yang telah siap dimasak oleh sukarelawan kepada mahasiswa.

UiTM turut merakamkan penghargaan kepada KPT atas sokongan berterusan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial mahasiswa menerusi pelaksanaan inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada golongan sasar.

Penyediaan tujuh Dapur Siswa MADANI di UiTM Cawangan Perlis membuktikan bahawa usaha menangani isu kos sara hidup mahasiswa memerlukan pendekatan praktikal, bersepadu dan berterusan bagi memastikan kesejahteraan pelajar kekal menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.

Total Views: 107