Advertisement

30 pelajar BBC FPTV ikuti pensijilan profesional Eksekutif Halal JAKIM

Oleh: Dr. Nor Aziah binti Ahmad dan Dr. Nurul Ashikin binti Ismail

BATU PAHAT, 19 November 2026 — Seramai 30 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional Katering dengan Kepujian (BBC), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), mengikuti Kursus Persijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM 1.0 di UTHM.

Kursus yang berlangsung dari 9 hingga 15 November 2026 itu dianjurkan oleh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), UTHM, selaku Penyedia Latihan Halal (PLH) JAKIM, dengan kerjasama FPTV.

Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kompetensi pelajar melalui pendedahan kepada pengetahuan dan kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan industri.

Sepanjang kursus, peserta mengikuti lima modul teras berkaitan pengurusan dan pensijilan halal yang disampaikan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) bertauliah JAKIM. Pengisian kursus merangkumi sistem jaminan halal, keperluan pensijilan serta amalan terbaik dalam pengurusan industri halal.

Pendedahan itu membantu pelajar memahami ekosistem halal dengan lebih menyeluruh dan menghubungkan bidang pengajian mereka dengan amalan industri.

Pensijilan profesional berkenaan turut memberikan nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan BBC, khususnya dalam bidang pengurusan makanan, pendidikan vokasional dan industri halal. Pengetahuan yang diperoleh juga membuka peluang kepada graduan untuk meneroka kerjaya berkaitan, termasuk sebagai Eksekutif Halal.

Penghargaan diberikan kepada Dr. Nurul Ashikin Ismail, Penyelaras Program HE dan Pengarah Program, atas kepimpinan serta penyelarasan kursus. Penghargaan turut dirakamkan kepada Dr. Nor Aziah Ahmad, Ketua Program BBC, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan kompetensi dan kebolehpasaran pelajar.

FPTV juga merakamkan penghargaan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin, Dekan FPTV dan penaung program; Ts. Dr. Reyanhealme Rohanai, Ketua Jabatan Kemahiran dan Profesional FPTV; serta Dr. Haji Muhammad Suhaimi Sulong, Ketua Jabatan iSWAJ.

Penghargaan turut ditujukan kepada seluruh urus setia dan tenaga pengajar yang menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan kursus.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen FPTV UTHM untuk melahirkan graduan yang kompeten dalam pendidikan vokasional serta memiliki pengetahuan industri dan kemahiran profesional yang relevan.

FPTV berharap pendedahan seperti ini dapat membantu mahasiswa membuat persediaan lebih baik untuk menghadapi keperluan pasaran kerja dan meneroka peluang dalam industri halal.

Total Views: 0