Advertisement

Memperkasa Bakat Muda: 32 Pelajar UUM Sertai Program Graduan Ke Koperasi (G2K) – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh PPKS UUM

PETALING JAYA – Seramai 32 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih untuk menyertai Program Graduan ke Koperasi (G2K): Sijil Pengurusan Koperasi yang berlangsung dari 13 hingga 15 November lalu bertempat di Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Petaling Jaya, Selangor.

Program berimpak tinggi ini telah menghimpunkan keseluruhan seramai 165 pelajar daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Fadzil Mohd Husin berkata, penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen IKMa dalam memperkasakan gerakan koperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui penyediaan latihan, pendidikan, khidmat nasihat dan bimbingan profesional berkaitan pengurusan koperasi.

IKMa berperanan sebagai rakan strategik kepada IPT dalam membangunkan modal insan koperasi, memperkukuhkan jaringan antara universiti dengan gerakan koperasi serta memupuk budaya berkoperasi dalam kalangan warga kampus khususnya mahasiswa.

Melalui peranan tersebut, IKMa turut membantu IPT meningkatkan keupayaan pengurusan koperasi dari aspek tadbir urus, pentadbiran, kewangan dan pembangunan perniagaan.

Sokongan ini penting bagi memastikan koperasi di IPT dapat diuruskan secara lebih profesional, berdaya saing dan berupaya menjadi platform pembangunan keusahawanan serta penjanaan ekonomi dalam kalangan pelajar.

Penganjuran kursus intensif ini bertujuan memberikan pendedahan secara komprehensif mengenai selok-belok pengurusan koperasi, aspek perundangan, tadbir urus organisasi serta pelbagai maklumat strategik yang berkait rapat dengan ekosistem gerakan koperasi di Malaysia.

Melalui penganugerahan Sijil Pengurusan Koperasi ini, setiap peserta memperoleh nilai tambah yang signifikan terhadap pencapaian kendiri, sekali gus membuka peluang cerah untuk menempatkan diri di mana-mana cawangan Institut Koperasi Malaysia di seluruh negara.

Penglibatan aktif delegasi mahasiswa UUM ini bukan sahaja berjaya memperkukuh jaringan kerjasama antara IPT malah dilihat sebagai langkah proaktif dalam melahirkan generasi pelapis berkemahiran tinggi yang bersedia memacu kecemerlangan sosioekonomi koperasi negara pada masa hadapan.

Total Views: 1