Oleh: Zahirizal Miskom
JOHOR BAHRU, 27 Jun 2026 – Kecekalan seorang bakal mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meneruskan pengajian walaupun keluarganya diuji dengan pelbagai cabaran hidup telah menyentuh hati rombongan Program Ziarah Kasih 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program tersebut diketuai oleh Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, En. Zahirizal Miskom bersama Ketua Staf Residen Kolej, Ahmad Khudzairi Khalid, bagi menziarahi Nazar Imran Nizam, bakal mahasiswa Program Diploma Kejuruteraan Elektrik (EE112) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang bagi sesi kemasukan September 2026.
Bekas pelajar SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus melayakkannya menyambung pengajian ke UiTM. Beliau merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.
Di sebalik kejayaan tersebut, Nazar berdepan ujian besar apabila bapanya diserang strok separuh badan pada tahun 2024 sehingga tidak lagi mampu bekerja. Keadaan itu menyebabkan kehidupan keluarga berubah secara drastik, malah abang sulungnya terpaksa menangguhkan pengajian bagi memberi sepenuh perhatian menjaga bapa mereka yang memerlukan bantuan dalam menjalani aktiviti harian.
Walaupun dihimpit cabaran, Nazar tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk mengalah. Sebaliknya, beliau bekerja sambilan di sebuah kilang bagi mengumpul wang sebagai persediaan memasuki universiti serta membantu meringankan beban kewangan keluarga.
“Saya percaya pendidikan adalah peluang terbaik untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Saya mahu belajar bersungguh-sungguh, memperoleh pekerjaan yang baik dan membalas segala pengorbanan ibu bapa, terutama ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kami adik-beradik,” katanya.
Sempena lawatan tersebut, rombongan Program Ziarah Kasih 2.0 turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas sebagai tanda keprihatinan UiTM terhadap bakal mahasiswa yang berdepan kekangan sosioekonomi sebelum melaporkan diri ke kampus.
Zahirizal berkata, Program Ziarah Kasih 2.0 membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam memastikan kebajikan bakal mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga yang berdepan cabaran kewangan dan kesihatan.
“Setiap mahasiswa mempunyai potensi untuk berjaya apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya. Melalui Program Ziarah Kasih 2.0, UiTM bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah mahu memberi suntikan semangat kepada bakal mahasiswa agar terus yakin mengejar cita-cita tanpa menjadikan kesukaran hidup sebagai penghalang,” katanya.
Beliau berkata, lawatan seumpama ini membolehkan pihak universiti memahami situasi sebenar yang dihadapi bakal mahasiswa supaya bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan mereka sebelum memulakan pengajian.
Program Ziarah Kasih 2.0 merupakan antara inisiatif kebajikan UiTM dan KPT dalam menyantuni bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah serta memastikan mereka dapat memulakan kehidupan sebagai mahasiswa dengan lebih yakin dan bersedia.
Kisah perjuangan Nazar membuktikan bahawa kesukaran hidup bukan penghalang untuk mengejar impian. Dengan keazaman tinggi, sokongan keluarga serta keprihatinan UiTM, beliau berharap dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya mengubah masa depan keluarganya melalui pendidikan.












