Oleh: Zahirizal Miskom
MASAI, 25 Jun 2026 – Semangat luar biasa seorang bakal mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sanggup bekerja sambilan setiap malam bagi mengumpul wang untuk melanjutkan pengajian telah menyentuh hati rombongan Program Ziarah Kasih 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang.
Program tersebut diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, En. Zahirizal Miskom bersama Penyelaras MASMED Kampus Pasir Gudang, Dr. Mohamad Faizal Ab. Jabal, Ketua Staf Residen Kolej, Ahmad Khudzairi Khalid serta wakil Unit Komunikasi Korporat, Muhahad Rosmali.

Rombongan telah menziarahi Mohamad Afham Wajdi Mohd. Zawawi, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 7A dan berjaya menerima tawaran mengikuti Program Diploma in Business Studies (BA111) di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat bagi sesi pengambilan September 2026.
Afham merupakan anak sulung daripada empat beradik yang dibesarkan dalam keluarga sederhana di Bandar Seri Alam, Masai. Bapanya bekerja di sebuah kilang pembuatan acuan (molding), manakala ibunya tidak dapat bekerja kerana faktor kesihatan. Dengan pendapatan isi rumah sekitar RM2,550 sebulan, keluarga tersebut menanggung perbelanjaan harian sambil menetap di sebuah rumah sewa di Flat Tasek 64.

Menyedari kekangan kewangan keluarga, Afham mengambil keputusan bekerja sambilan setiap hari bermula jam 8.00 malam hingga 2.00 pagi bagi mengumpul wang untuk membeli keperluan asas sebelum mendaftar di universiti, termasuk bagasi, peralatan pembelajaran dan kelengkapan elektronik.
“Saya mahu berusaha sendiri supaya tidak terlalu membebankan keluarga. Saya berharap dapat melengkapkan segala keperluan sebelum mendaftar dan seterusnya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Impian saya ialah menjadi pensyarah UiTM suatu hari nanti serta mengubah nasib keluarga,” kata Afham.
Menurut beliau, peluang melanjutkan pengajian di UiTM merupakan langkah pertama untuk merealisasikan cita-cita serta membalas segala pengorbanan ibu bapanya yang sentiasa memberi sokongan walaupun berdepan cabaran ekonomi.
Sementara itu, Zahirizal berkata Program Ziarah Kasih 2.0 merupakan manifestasi keprihatinan UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan bakal mahasiswa daripada keluarga yang memerlukan menerima sokongan sewajarnya sebelum memulakan pengajian.

“Setiap pelajar mempunyai kisah perjuangan yang berbeza. Kehadiran kami bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi untuk melihat sendiri keadaan mereka serta memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian hanya disebabkan kekangan kewangan. UiTM sentiasa komited membantu mahasiswa merealisasikan impian mereka,” katanya.
Beliau berkata, lawatan seperti ini membolehkan pihak universiti memahami situasi sebenar yang dihadapi bakal pelajar sekali gus menyalurkan bantuan dan intervensi yang lebih bersasar agar mereka dapat memulakan pengajian dengan lebih yakin.
Program Ziarah Kasih 2.0 turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Johor dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang bagi menyantuni bakal pelajar dan keluarga mereka sebelum sesi pendaftaran universiti.
Kisah Afham membuktikan bahawa kekangan kewangan bukan penghalang untuk mengejar cita-cita. Dengan keazaman tinggi, sokongan keluarga serta keprihatinan UiTM dan KPT, beliau kini melangkah lebih yakin untuk memulakan perjalanan sebagai mahasiswa dengan harapan suatu hari nanti dapat kembali berbakti kepada masyarakat dan alma mater yang membuka ruang kepada masa depannya.












