Kredit: Pusat Bahasa Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober 2026 – Membawa ilmu keluar dari bilik kuliah untuk dikongsi bersama komuniti, mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus membuktikan peranan mereka sebagai agen perubahan apabila tampil menjadi penggerak utama program TLC School Attack menerusi pengisian English Is Fun sempena Karnival STEM dan EduFest SK Kedai Buloh (SKeB) 2026.

Program anjuran Pusat Bahasa Terengganu (PBT) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) itu menyaksikan penglibatan mahasiswa Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA sebagai fasilitator yang mengendalikan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif bersama murid sekolah.
Menariknya, mahasiswa bukan sekadar hadir sebagai peserta, sebaliknya diberi kepercayaan untuk merancang, mengendalikan dan menggerakkan aktiviti yang menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti serta komunikasi dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Program yang dibahagikan kepada dua sesi mengikut tahap persekolahan itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik. Bagi Tahap 1, murid-murid menyertai permainan Charades dan Scrabble Challenge, manakala peserta Tahap 2 pula menguji kemahiran menerusi aktiviti Picture Perfect dan Broken Message.

Lebih menceriakan, murid-murid turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan bertemakan haiwan dengan sorakan kreatif masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, ceria dan kompetitif.
Menerusi pendekatan ini, murid bukan sahaja berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, malah dapat membina keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi dan memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan.

Bagi mahasiswa UniSZA yang terlibat, pengalaman mengendalikan program ini menjadi medan pembelajaran sebenar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, meningkatkan kemahiran fasilitasi serta membina keyakinan berinteraksi dengan komuniti.
Program ini turut memperlihatkan nilai khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada proses pembentukan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keupayaan menyumbang kepakaran dan tenaga kepada masyarakat.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Guru Besar SK Kedai Buloh, YBrs. Puan Suliana binti Zulkurnaini, serta sesi menandatangani Sijil Jalinan antara PBT dengan SKeB sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris.
Inilah wajah mahasiswa UniSZA yang diharapkan – bukan sekadar menimba ilmu untuk diri sendiri, tetapi berani memimpin, berkongsi kepakaran dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Syabas kepada mahasiswa FBK UniSZA atas komitmen dan sumbangan dalam menjayakan program ini. Semoga pengalaman ini menjadi pemangkin untuk terus melahirkan mahasiswa yang berilmu, berketerampilan dan prihatin terhadap keperluan komuniti.
#UniSZA #MahasiswaUniSZA #TLCschoolAttack #EnglishIsFun #FBKUniSZA #KhidmatKomuniti #KemenjadianMahasiswa












