Advertisement

USIM Perkenal Perkhidmatan Farmasi Satelit, Dekatkan Akses Ubat Asas Kepada Mahasiswa

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Kesihatan Universiti (PKU) memperkenalkan Perkhidmatan Farmasi Satelit bagi memudahkan mahasiswa mendapatkan ubat-ubatan yang telah ditetapkan untuk menangani masalah kesihatan ringan, khususnya di luar waktu operasi PKU.

Inisiatif ini turut mencatat pencapaian tersendiri apabila Perkhidmatan Farmasi Satelit yang diperkenalkan oleh PKU USIM merupakan yang pertama seumpamanya di universiti awam Malaysia. Perkhidmatan ini mencerminkan usaha universiti untuk mendekatkan akses kepada keperluan ubat-ubatan dengan persekitaran kediaman mahasiswa, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan bekalan yang diperlukan.

Peluncuran perkhidmatan itu dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), USIM, Profesor Dr. Mushaddad bin Hasbullah baru-baru ini.

Menurutnya, kewujudan farmasi satelit tidak hanya menandakan pembukaan sebuah kemudahan baharu, malah melambangkan komitmen berterusan Universiti dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan warga kampus.

Perkhidmatan itu menyediakan akses kepada ubat-ubatan yang telah ditetapkan bagi menangani masalah kesihatan ringan seperti demam, selesema, batuk, alahan ringan, gastrik, luka kecil dan kegatalan. Kemudahan ini amat bermakna khususnya di luar waktu operasi PKU kerana membolehkan mahasiswa mendapatkan ubat yang diperlukan dengan lebih dekat dari tempat tinggal mereka.

Bagi memastikan pembekalan ubat dilaksanakan secara teratur, senarai ubat berserta indikasi penggunaan, dos dan panduan penggunaannya ditetapkan oleh pegawai farmasi PKU. Mahasiswa boleh mendapatkan ubat berkenaan melalui staf di pejabat kolej kediaman berdasarkan senarai dan arahan penggunaan yang telah disediakan oleh pihak PKU.

Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada mahasiswa dengan memudahkan mereka mendapatkan ubat yang diperlukan tanpa perlu pergi ke lokasi yang lebih jauh, khususnya di luar waktu operasi PKU. Akses yang lebih dekat dan teratur ini turut menyokong kesejahteraan mahasiswa dalam menjalani kehidupan seharian di kampus.

Usaha ini mencerminkan komitmen USIM dalam membina persekitaran kampus yang lebih prihatin, responsif dan cakna terhadap keperluan mahasiswa. Daripada sebuah ruang di kolej kediaman, Farmasi Satelit membawa mesej bahawa kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi sebahagian daripada keutamaan USIM.

Oleh: Fatimah Hanum Samsuri

Total Views: 0