Advertisement

UUM Santuni 60 Pelajar Baharu Melalui Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Sesi A261 – MySiswaNow

Berita dan gambar oleh: Pusat Zakat dan Wakaf UUM

SINTOK, 27 Oktober 2026 – Pusat Zakat dan Wakaf Universiti Utara Malaysia (PZW UUM) meneruskan usaha memelihara kebajikan dan kelangsungan pendidikan pelajar menerusi penganjuran Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian kepada Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda (UG) Universiti Utara Malaysia Sesi A261 yang berlangsung di Dewan Makan A, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Pusat Konvensyen UUM.

Majlis ini memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan zakat awal pengajian berjumlah RM30,000.00 kepada seramai 60 orang pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi A261 yang layak dengan kadar RM500.00 seorang. Penganjuran majlis ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM4,000.00 dan ke bawah dalam menampung keperluan serta perbelanjaan awal pengajian di universiti.

Penyaluran bantuan ini menggunakan peruntukan Dana Sumbangan Zakat Lembaga Tabung Haji (TH) bagi Program IQRA’ TH IPTA 2025 UUM yang berjumlah keseluruhan RM75,000.00. Terdahulu, sebanyak RM45,000.00 daripada dana tersebut telah diagihkan kepada 90 orang pelajar menerusi Program Ziarah Prihatin dan Penyampaian Bantuan Zakat Awal Pengajian yang dilaksanakan pada 28 Ogos hingga 14 September 2026.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu undangan utama, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Mazli bin Mutazam. Turut hadir ialah Pengarah PZW UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, Timbalan Pengarah Zakat PZW UUM, Dr. Dzarfan bin Abdul Kadir, barisan sekretariat PZW UUM serta kesemua 60 orang pelajar penerima bantuan daripada pelbagai pusat pengajian di UUM.

Penglibatan dan sokongan berterusan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dalam program ini memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam menyokong pembangunan pendidikan dan akses kepada pengajian tinggi. Selain menyantuni pelajar yang memerlukan, inisiatif ini turut meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai peranan zakat dalam memacu kesejahteraan komuniti universiti.

Melalui pelaksanaan majlis ini, PZW UUM komited untuk terus memperkasa pengurusan serta agihan dana zakat secara cekap, telus dan bertanggungjawab. Usaha ini diharap dapat memastikan instrumen zakat terus berperanan penting dalam menyokong tanggungjawab sosial universiti serta menjamin kebajikan warga pelajar Universiti Utara Malaysia

Total Views: 2