Oleh : Mohd Zaini Azizan, Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE)
JOHOR BAHRU, 14 Okt. – Seramai 142 pensyarah, staf dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Sukan Tradisional Akademia 2026 di Kompleks Sukan UTM Johor Bahru, yang berlangsung sempena Sambutan Bulan Akademia 2026 Peringkat UTM bertemakan “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia”.
Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara warga universiti, memupuk semangat berpasukan serta memelihara warisan permainan tradisional.
Program anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) itu diselaraskan oleh Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) bersama Pusat Kecemerlangan Sukan UTM. Penyertaan daripada pelbagai fakulti, termasuk SPACE, menyemarakkan pertandingan yang melibatkan enam acara, iaitu congkak, batu seremban, sepak raga bulatan, dam haji gergasi, baling tin dan lari kaki tiga.
Selaras dengan tema sambutan, program ini mengetengahkan kepentingan sinergi dalam kalangan warga universiti melalui aktiviti yang menggabungkan pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan kerjasama. Setiap acara memerlukan strategi, ketangkasan, ketelitian serta kebijaksanaan peserta membuat keputusan, sekali gus memperlihatkan bahawa nilai pembelajaran dapat diterapkan melalui pelbagai bentuk aktiviti di luar bilik kuliah.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Hafiz Dzarfan Othman yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM. Turut hadir Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT); Prof. Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains (FS); Prof. Madya Dr. Kamaludin Mohd Yusof, Dekan SPACE; Prof. Ir. Ts. Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid, yang menjalankan tugas sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM); serta Hanifah Ahmad, Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Dalam ucapan penutupan, Prof. Ts. Dr. Hafiz Dzarfan Othman menekankan kepentingan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga UTM tanpa mengira persaingan antara fakulti.
“Kita mungkin bertanding sebagai wakil fakulti masing-masing, tetapi pada akhirnya kita tetap bersatu sebagai satu keluarga besar UTM. Itulah semangat yang ingin kita suburkan melalui penganjuran program ini,” katanya.
Beliau turut menyampaikan mesej yang selari dengan aspirasi Sambutan Bulan Akademia 2026, iaitu menjadikan sinergi sebagai asas untuk memperkukuh hubungan, menggalakkan perkongsian kepakaran dan membina komuniti akademia yang saling menyokong ke arah kecemerlangan bersama.
Selain menggalakkan aktiviti fizikal, program ini turut memberi ruang kepada warga universiti mengenali dan menghargai permainan tradisional sebagai warisan budaya yang perlu dipelihara. Penyertaan daripada pelbagai latar belakang menggalakkan kerjasama, kreativiti, semangat berpasukan dan persaingan sihat dalam suasana santai. Interaksi sepanjang pertandingan juga membuka peluang kepada warga fakulti untuk berkongsi pengalaman serta membina hubungan yang lebih erat.
Dalam keputusan pertandingan, Fakulti Kejuruteraan Awam muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Tradisional Akademia 2026. Fakulti itu turut menjuarai acara batu seremban dan lari kaki tiga. Bagi acara lain, Fakulti Alam Bina menjuarai congkak, SPACE memenangi sepak raga bulatan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal muncul juara dam haji gergasi, manakala Fakulti Sains memenangi acara baling tin.

Program itu turut menyampaikan tiga anugerah khas bagi menghargai penglibatan dan semangat warga fakulti. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menerima Anugerah Fakulti 100% Kehadiran, Fakulti Kejuruteraan Awam menerima Anugerah Fakulti ‘TerHAVOC’, manakala Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga membawa pulang Anugerah Fakulti ‘Sporting’.
Pengiktirafan tersebut meraikan bukan sahaja pencapaian dalam pertandingan, malah komitmen, penglibatan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh warga universiti.
Secara keseluruhan, Sukan Tradisional Akademia 2026 menjadi antara platform yang menterjemahkan tema Sambutan Bulan Akademia 2026 Peringkat UTM melalui aktiviti yang mengutamakan kerjasama, kreativiti, perkongsian pengalaman dan pembangunan komuniti.
Program ini memperlihatkan bahawa kecemerlangan akademia bukan sahaja bergantung pada penguasaan ilmu dan kemajuan teknologi, tetapi turut diperkukuh melalui nilai kemanusiaan, pemeliharaan budaya, kesihatan dan hubungan erat sesama warga universiti.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan bagi memelihara warisan permainan tradisional, membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan warga UTM. Seiring dengan tema sambutan, sinergi yang bermakna terbina apabila setiap warga menyumbang keupayaan masing-masing, saling melengkapi dan bergerak bersama ke arah kecemerlangan universiti. Di sebalik kemenangan yang diraih, semangat persaudaraan dan kebersamaan kekal sebagai nilai penting yang perlu dipelihara.
Sumber : UTM NewsHub













