Oleh: Hairul Reazuan
SHAH ALAM, 16 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) meneruskan komitmennya dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan Program Ziarah Kasih 2.0 yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa.
Program yang dilaksanakan menjelang sesi pendaftaran pelajar baharu September 2026 itu bertujuan menyantuni bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah serta mengenal pasti keperluan yang boleh dibantu sebelum mereka memulakan pengajian di universiti.
Delegasi lawatan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, En. Hirman Awang, serta pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM.
Dalam siri lawatan tersebut, bantuan kewangan dan keperluan asas persediaan pendaftaran telah disampaikan kepada beberapa bakal pelajar yang dikenal pasti memerlukan sokongan awal.
Salah satu lawatan yang menyentuh hati melibatkan bakal pelajar UiTM, Nur Rabiah, yang bakal melanjutkan pengajian pada sesi September 2026.

Ketika menerima kunjungan delegasi, ibu kepada Nur Rabiah tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata kerana terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak KPT, UiTM dan Yayasan Perkasa Siswa.
Menurut beliau, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dalam membuat persediaan bagi kemasukan anaknya ke universiti.
Prof. Dr. Mohd Sazili berkata, Program Ziarah Kasih 2.0 membuktikan bahawa UiTM sentiasa mengambil berat kebajikan pelajarnya, bukan sahaja selepas mereka mendaftar, malah sebelum melangkah masuk ke alam kampus.
“UiTM percaya bahawa setiap anak bangsa berhak mendapat peluang pendidikan tinggi tanpa dibatasi oleh kekangan kewangan. Melalui Program Ziarah Kasih 2.0, kita hadir untuk mendengar, memahami dan membantu sedaya upaya agar bakal mahasiswa dapat memulakan pengajian dengan lebih yakin dan bersedia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda kebajikan pelajar akan terus menjadi keutamaan universiti selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan tinggi negara.
Sementara itu, En. Hirman berkata Yayasan Perkasa Siswa sentiasa komited untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan dalam memperkasakan agenda kebajikan mahasiswa.
“Kami percaya bantuan yang disalurkan bukan sekadar berbentuk kewangan, tetapi merupakan suntikan semangat kepada pelajar dan keluarga bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan menuntut ilmu. Yayasan Perkasa Siswa akan terus menyokong usaha murni seperti ini demi masa depan generasi muda negara,” ujarnya.

Program Ziarah Kasih 2.0 merupakan inisiatif nasional yang digerakkan oleh KPT bagi memastikan bakal mahasiswa daripada golongan yang memerlukan menerima perhatian, sokongan dan bantuan sewajarnya sebelum memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti.
Susulan kejayaan pelaksanaan program ini, UiTM akan memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh kampus cawangan melalui jaringan pegawai Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan lebih ramai bakal pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.

Program ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam membudayakan nilai ihsan, keprihatinan dan kesejahteraan mahasiswa demi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah dihargai dan disokong sepanjang perjalanan pendidikan mereka.












