KUALA KUBU BHARU – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri bersama Pusat Zakat dan Wakaf serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui SSSC, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan ziarah kasih kepada pelajar, Muhammad Azimnur Mohd Fadzir yang mengalami kemalangan jalan raya pada 6 Mei 2025 lalu.

Muhammad Azimnur merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA). Ketika kemalangan berlaku, beliau berada di Semester 3 dan dikenali sebagai seorang pelajar yang aktif serta cemerlang dalam akademik. Akibat kemalangan tersebut, beliau kini berada dalam keadaan vegetatif yang menyebabkan beliau tidak mampu bergerak dan memerlukan bantuan sepenuhnya daripada ibu bapanya untuk menguruskan diri. Beliau kini terlantar di kediaman keluarganya di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.
Dalam lawatan tersebut, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali turut menyampaikan sumbangan zakat berupa wang tunai kepada keluarga pelajar bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, lawatan seumpama ini membuktikan bahawa universiti sentiasa prihatin dan tidak pernah membiarkan pelajar menghadapi cabaran kehidupan secara bersendirian. Menurut beliau, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti.
“Lawatan ini merupakan tanda sokongan dan solidariti warga universiti agar pelajar serta keluarga terus kuat menghadapi ujian kesihatan yang dialami,” katanya.
Keluarga pelajar turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan serta warga universiti atas keprihatinan yang ditunjukkan menerusi lawatan tersebut, di samping pertimbangan bantuan kebajikan yang diberikan kepada pelajar.













