Advertisement

UTM Santuni Kebajikan Pelajar Diploma dan Asasi Menerusi Program Agihan Makanan di KLG Campus Residence

14 Oktober 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyantuni kebajikan dan kesejahteraan pelajar menerusi pelaksanaan Program Agihan Makanan kepada pelajar Diploma dan Asasi UTM yang berlangsung di KLG Campus Residence.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM menyerahkan pek makanan kepada pelajar UTM

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam aspek keperluan harian dan kesejahteraan sepanjang tempoh pengajian. Inisiatif seumpama ini turut mencerminkan keprihatinan pihak universiti terhadap keperluan pelajar serta usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong perkembangan mereka.

Agihan makanan telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, bersama Prof. Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Dekan SPACE UTM. Kehadiran kedua-dua pemimpin universiti ini mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam mendekati pelajar serta memastikan aspek kebajikan terus menjadi antara keutamaan dalam agenda pembangunan pelajar.

Antara pelajar UTM yang hadir untuk menerima agihan makanan menerusi program tersebut

Turut hadir ialah Dr. Mohd Amri bin Md Yunus, Pengetua Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ), yang turut bertanggungjawab menyelaras kebajikan pelajar di KLG Campus Residence, serta barisan pengurusan tertinggi SPACE UTM. Penglibatan pihak pengurusan universiti, SPACE UTM dan kolej kediaman memperlihatkan kepentingan kerjasama strategik dalam menjayakan usaha menjaga kebajikan pelajar.

Selain membantu memenuhi keperluan makanan pelajar, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan universiti dengan para pelajar. Pendekatan turun padang seperti ini membolehkan pihak universiti terus mendekati komuniti pelajar dan memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.

Diharapkan agar inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar Diploma dan Asasi UTM, sekali gus menyemai rasa dihargai dan meningkatkan kesejahteraan mereka sepanjang berada di universiti.

Staf UTM yang terlibat dalam membantu pelaksanaan agihan makanan kepada pelajar

Usaha ini juga diharap dapat memperkukuh kerjasama antara Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNC HEPA), SPACE UTM dan pengurusan kolej kediaman dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang seimbang dan holistik.

Total Views: 3