Oleh: Dr. Anim Zalina binti Azizan
BATAM, INDONESIA, 10 OKTOBER 2026 – Majlis Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif untuk terus memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa dan jaringan akademik antarabangsa menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Universitas Ibnu Sina (UIS), Batam, Indonesia.
Program yang berlangsung di Fakulti Sains Kesihatan (FIKes), UIS itu mengetengahkan tema Student Empowerment through Knowledge, Skills, and Community Engagement dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan mahasiswa melalui perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran insaniah dan penglibatan komuniti.
Inisiatif tersebut menjadi platform strategik untuk kedua-dua institusi berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal pelajar dan alumni, di samping meneroka peluang kerjasama yang mampu memberikan manfaat berterusan kepada warga universiti. Pendekatan ini turut mencerminkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Rektor UIS, Profesor Madya Dr. Ir. Larisang yang mewakili pihak universiti tuan rumah dalam menyambut delegasi UTHM yang terdiri daripada lapan orang Timbalan Dekan (HEPA), UTHM. Sesi pembukaan itu menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi serta menzahirkan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam memperkaya pengalaman pembelajaran dan pembangunan mahasiswa.

Majlis diteruskan dengan ucapan balas oleh Pengerusi Majlis Timbalan Dekan (HEPA) UTHM, Ts. Dr. Zurina binti Yasak, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang menekankan kepentingan kerjasama strategik dalam memperluas jaringan pembangunan pelajar. Hubungan antara universiti dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program bersama yang lebih tersusun, berimpak dan berorientasikan keperluan mahasiswa serta komuniti.
Antara pengisian utama program ialah perbincangan mengenai pelan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), yang memberi tumpuan kepada perkongsian idea, pengalaman dan pendekatan pengurusan pembangunan mahasiswa. Perbincangan ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bidang yang berpotensi diperkasakan melalui perkongsian kepakaran dan pelaksanaan inisiatif bersama.
Aspek mobiliti pelajar turut diberikan perhatian sebagai salah satu mekanisme penting untuk memperluas pendedahan antarabangsa mahasiswa. Peluang mobiliti bukan sekadar membolehkan pelajar mengenali budaya dan persekitaran akademik yang berbeza, malah berpotensi membina keyakinan diri, kematangan berfikir, keupayaan menyesuaikan diri serta jaringan profesional merentas negara.
Kemuncak pengisian CSR ialah ceramah berkaitan komunikasi efektif dan pengucapan awam yang disampaikan oleh Dr. Anim Zalina binti Azizan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM. Ceramah bertajuk Kemahiran Komunikasi Efektif: Pengucapan Awam Ohsem – The Executive Playbook itu dirangka untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan komunikasi sebagai kemahiran asas dalam pembentukan mahasiswa yang berkeyakinan dan berdaya saing.

Melalui perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada aspek penting pengucapan awam, termasuk persediaan mental dan fizikal, pengurusan kegugupan, teknik vokal, sebutan yang jelas, bahasa tubuh serta kebolehan memahami audiens. Penekanan turut diberikan kepada penyampaian mesej yang tersusun, berkesan dan bersesuaian dengan situasi supaya setiap komunikasi dapat membina kefahaman serta keyakinan pendengar.
Keistimewaan ceramah ini terletak pada pendekatan praktikal yang menghubungkan kemahiran komunikasi dengan situasi sebenar dalam kehidupan mahasiswa, termasuk pembentangan akademik, temu duga pekerjaan, kepimpinan organisasi dan pengurusan program. Penguasaan kemahiran tersebut dapat membantu mahasiswa beralih daripada sekadar mampu menyampaikan maklumat kepada individu yang berupaya mempengaruhi, meyakinkan dan menggerakkan orang lain secara positif.
Program ini memberi impak yang sangat positif bila mana gabungan kerjasama strategik UTHM-UIS, iaitu memperkasa mobiliti mahasiswa dan pemindahan kemahiran insaniah dalam satu platform antarabangsa. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa pembangunan mahasiswa tidak seharusnya terbatas di bilik kuliah, sebaliknya perlu diperkaya melalui pengalaman rentas budaya, perkongsian kepakaran dan pendedahan kepada realiti komunikasi dalam dunia profesional.
Lebih penting, program CSR ini membawa mesej bahawa kemahiran komunikasi bukan sekadar nilai tambah dalam resume, tetapi merupakan aset penting yang menentukan keupayaan mahasiswa memimpin, membina jaringan, menyelesaikan masalah dan menyumbang kepada masyarakat. Apabila digabungkan dengan peluang mobiliti dan kerjasama antara universiti, usaha ini berpotensi membentuk graduan yang lebih yakin, tangkas menghadapi perubahan dan bersedia memenuhi tuntutan dunia pekerjaan.
Program diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata antara kedua-dua pihak sebagai simbol penghargaan dan persahabatan institusi. Sesi tersebut turut melambangkan aspirasi bersama untuk meneruskan hubungan yang telah dibina melalui kerjasama yang lebih bermakna dalam bidang pembangunan mahasiswa, perkongsian ilmu dan penglibatan komuniti.
Secara keseluruhannya, program CSR UTHM–UIS membuktikan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dalam memperluas manfaat ilmu kepada mahasiswa dan masyarakat. Usaha seumpama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama yang menggabungkan kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah, mobiliti antarabangsa dan tanggungjawab sosial demi melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkeyakinan serta mampu memberikan impak positif kepada negara dan komuniti serantau.












