Advertisement

UTHM anjur Program ‘Strategic Insight: ETeC to UMPSA perkukuh hubungan akademik dan kepimpinan mahasiswa

Oleh: Nuratira Nadirah

Pada 11 Jun 2026, Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Civil Engineering Technology Student Secretariat (CETSS) telah menganjurkan program Strategic Insight: ETeC to UMPSA di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, Pahang.

Program ini diadakan sebagai inisiatif penanda aras (benchmarking) untuk memperkukuh hubungan antara institusi serta memperluaskan jaringan akademik dan profesional mahasiswa.

Penyertaan program melibatkan seramai 34 wakil dari UTHM yang terdiri daripada 22 ahli ETeC, 3 ahli CETSS, 8 pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan seorang pengiring. Dari pihak UMPSA pula, program disertai oleh 17 ahli Kelab SCETS.

Turut hadir memeriahkan program ialah Profesor Madya Dr. Noram Irwan Bin Ramli, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam.

Hadir sama ialah Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Saffuan Bin Wan Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Selain itu, Ir. Ts. Dr. Youventharan A/L Duraisamy, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah turut hadir dalam menjayakan program ini.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Ts. Norhaiza Binti Ghazali selaku Penasihat SCETS. Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti majlis perasmian dan sesi perkongsian bersama wakil universiti.

Peserta turut terlibat dalam pembentangan organisasi pelajar dan sesi soal jawab. Satu sesi khas berkaitan pelaksanaan program dual degree turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta.

Selain itu, peserta berpeluang menyertai lawatan kampus untuk mengenali fasiliti dan persekitaran pembelajaran di UMPSA.

Program ini telah memberi peluang kepada mahasiswa untuk menambah pengetahuan dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan pengurusan organisasi.

Interaksi antara peserta kedua-dua universiti juga berjaya mewujudkan hubungan yang lebih erat dan profesional.

Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berfikiran global dan mampu memberi impak positif kepada universiti serta masyarakat.