Oleh: Mohd Faiz Zabri
KUALA NERUS, 30 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah baharu dalam arena sukan pengajian tinggi apabila muncul juara julung-julung kalinya pada kejohanan UMT International Sailing Championship 2026.
Kejayaan ulung itu dimanifestasikan menerusi prestasi cemerlang pasukan pelayaran UPSI, yang menewaskan beberapa pasukan universiti ternama dan berpengalaman dari dalam serta luar negara.
UPSI mengesahkan kejuaraan keseluruhan selepas mengumpul 26 mata, sekali gus mengatas cabaran sengit sengit daripada pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang meraih kedudukan naib juara dengan 24 mata.
Sementara itu, wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS) sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan 22 mata, manakala satu lagi wakil tuan rumah, UMT Oceanus, menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan empat mata.
UPSI mempamerkan konsistensi sejak peringkat awal apabila menjuarai Kumpulan B pada pusingan kelayakan dengan kutipan 14 mata—hasil daripada empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua, serta tiga mata pada perlumbaan ketiga dan keempat.

Kehebatan pasukan UPSI terus sukar ditandingi pada peringkat akhir apabila menambah kutipan mata menerusi persembahan bertenaga—mengutip enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata (perlumbaan kedua), serta masing-masing enam mata dalam perlumbaan ketiga dan keempat.
Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI memanjatkan rasa bangga dan menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kecekalan serta keupayaan atlet universiti itu bersaing di peringkat tertinggi.
“Kejayaan julung kali ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.
“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya.
Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk penyertaan dari Singapura dan Taiwan, sekali gus meletakkan nama UPSI sebagai antara pencabar baharu yang gerun dalam arena sukan pelayaran universiti.












