Oleh: Mohd Faiz Zabri
TANJONG MALIM, 1 Ogos 2026 – Kelab Taekwondo Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia ( MASUM ) dan Taekwondo Malaysia (WT), menganjurkan UPSI Kyorugi Referee Refresher and Qualification Course 2026 pada 1 hingga 2 Ogos 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini menghimpunkan seramai 55 peserta daripada beberapa kelab taekwondo di seluruh Malaysia.

Kursus tersebut bertujuan memperbaharui pengetahuan serta meningkatkan kompetensi peserta dalam aspek pengadilan pertandingan kyorugi. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada teori pengadilan, penggunaan isyarat tangan, analisis klip video dan pengurusan pertandingan.
Presiden Kelab Taekwondo UPSI merangkap Pengarah Program, Mohamad Irfan bin Eruan, berkata kursus itu menjadi platform penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pengadil yang berpengetahuan, cekap dan memahami peraturan pertandingan semasa. Menurut beliau, program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran membuat keputusan, menguasai isyarat pengadilan dan membina keyakinan ketika mengendalikan pertandingan kyorugi.

“Penganjuran kursus ini diharapkan dapat meningkatkan standard pengadilan taekwondo, khususnya dalam kalangan peserta muda, di samping menyediakan barisan pengadil yang lebih kompeten untuk kejohanan pada masa hadapan,” katanya.
Kerjasama antara Kelab Taekwondo UPSI dengan Taekwondo Malaysia (WT) mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan sukan taekwondo melalui latihan teknikal, perkongsian kepakaran dan peningkatan profesionalisme pegawai pertandingan.
Penganjuran program ini dijangka dapat memperkukuh pembangunan sukan taekwondo serta meningkatkan mutu pengadilan pertandingan pada peringkat universiti dan kebangsaan.












