Advertisement

UPNM Catat Kadar Kebolehpasaran Graduan 99.6 Peratus, Kedua Tertinggi Dalam Kalangan Universiti Awam

oleh Safinah Dzulkepli

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan graduannya kekal relevan dan berdaya saing apabila mencatat kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Employability, GE) sebanyak 99.6 peratus bagi tahun 2025.

Pencapaian cemerlang ini meletakkan UPNM di tempat kedua tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia, berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pencapaian ini merupakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang dirangka secara holistik selaras dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk pembangunan Roadmap Kerjaya Pelajar UPNM sebagai panduan menyeluruh kepada pelajar dalam merancang dan membina laluan kerjaya sejak awal pengajian. Selain itu, UPNM turut melantik Career Coach dalam kalangan pensyarah di setiap fakulti bagi memberikan bimbingan kerjaya secara berfokus dan sistematik.

Bagi memperkukuh budaya pembangunan kerjaya dalam kalangan mahasiswa, UPNM juga menubuhkan Career Ambassador dan Sekretariat Kebolehpasaran Graduan yang berperanan membantu menjayakan pelbagai program peningkatan kebolehpasaran dan pembangunan kompetensi pelajar.

Menurut YBrs Kol Prof. Dr. Khairol Amali bin Ahmad, Timbaklan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), program career profiling merupakan antaran inisiatif penting universiti dalam membantu pelajar mengenal pasti potensi, minat, personaliti dan kecenderungan kerjaya masing-masing. Pada masa yang sama, kerjasama strategik bersama agensi pekerjaan dan pihak industri terus diperkasakan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, latihan industri dan penempatan kerjaya kepada graduan.

Dalam usaha meningkatkan daya saing graduan, pelajar turut diberi peluang mengikuti pelbagai kursus kemahiran tambahan termasuk dalam bidang ekonomi GIG, Program Penjana Kerjaya, Projek PROTÉGÉ serta program kolaborasi universiti-industri yang memberikan pendedahan langsung kepada dunia pekerjaan dan kehendak industri semasa.

Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan ekosistem pembangunan pelajar yang holistik di UPNM dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi, kompeten dan memenuhi keperluan pasaran kerja serta industri negara.