KUALA NERUS, 14 Oktober 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) meneroka potensi Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED), Indonesia, bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan yang bakal memberi manfaat kepada mahasiswa kedua-dua institusi.

Hasrat tersebut dibincangkan menerusi lawatan akademik delegasi Program Sarjana Pengajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Ilmu Politik, UNSOED yang diketuai oleh Dr. Nuryanti dan Dr. Wiwik Norianti.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Dekan FBK, Dr. Zurina binti Khairuddin, turut dihadiri Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Norhayati binti Che Hat, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Mohd Firdaus Yahaya serta ahli akademik FBK.

Delegasi berkenaan turut disertai enam pelajar sarjana yang mengikuti sesi kursus metodologi penyelidikan, disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat dan Latihan, Prof. Madya Dr. Muhamad Fazil bin Ahmad.
Lawatan ini membuka ruang untuk memperluas hubungan kerjasama sedia ada antara UniSZA dengan UNSOED, yang sebelum ini terjalin melalui Memorandum Persefahaman (MoU) menerusi Fakulti Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa (FUHA), kepada bidang komunikasi.
Antara cadangan kerjasama yang dibincangkan termasuk program mobiliti pelajar, pengajaran kolaboratif, geran padanan penyelidikan, pelantikan felo penyelidik dan profesor pelawat serta pertukaran kepakaran dalam pengajian sarjana dan doktor falsafah.
Bagi mahasiswa, kerjasama ini berpotensi memperluas peluang pembelajaran rentas negara, meningkatkan kemahiran penyelidikan serta memberikan pendedahan kepada perspektif akademik dan budaya yang berbeza. Peluang berinteraksi dengan ahli akademik dan mahasiswa antarabangsa juga dapat membantu membina keyakinan, kemahiran komunikasi serta jaringan profesional yang penting untuk menghadapi dunia kerjaya.
Selain kerjasama akademik, kedua-dua institusi turut membincangkan inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat, termasuk cadangan program literasi media untuk masyarakat terpinggir. Inisiatif ini berpotensi membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu komunikasi dalam menangani keperluan sebenar masyarakat melalui pendekatan berasaskan komuniti.
Perbincangan yang berakhir pada jam 4.00 petang itu akan diteruskan secara dalam talian bagi memperincikan cadangan kerjasama akademik dan penyelidikan serta meneliti langkah seterusnya ke arah pemeteraian MoA.
Usaha ini mencerminkan komitmen UniSZA untuk memperluas jaringan akademik antarabangsa yang bukan sahaja memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, malah menyediakan lebih banyak peluang pembangunan ilmu, pengalaman antarabangsa dan kemenjadian mahasiswa secara holistik.












