KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh peranannya bersama komuniti menerusi penganjuran Program Jejak Menara Ilmu bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong, Setiu, yang disertai 72 calon SPM dan lapan orang guru pengiring.
Program bertemakan Menyemai Aspirasi, Membina Keyakinan, Melakar Kecemerlangan itu menjadi platform untuk menyuntik motivasi, membina keyakinan diri serta membantu pelajar memperkukuh persediaan mental dan strategi pembelajaran menjelang peperiksaan SPM.

Menerusi perkongsian inspirasi dan pesanan bermakna, para pelajar diseru agar terus fokus, berdisiplin, mengurus masa dengan bijaksana serta tidak mudah berputus asa dalam usaha mencapai kejayaan.
Selain kecemerlangan akademik, program ini turut menekankan kepentingan pembentukan sahsiah dan akhlak terpuji melalui pegangan “Adab Dahulu, Barulah Ilmu” sebagai asas melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UniSZA dalam memperluas jangkauan pendidikan kepada komuniti, khususnya dalam membantu pelajar sekolah membina aspirasi melanjutkan pengajian ke menara gading serta membuka minda mereka terhadap peluang pendidikan tinggi.

UniSZA berharap program seumpama ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada calon SPM SMK Guntong untuk terus berusaha dengan penuh keyakinan, sekali gus merealisasikan impian mereka dalam bidang akademik dan kehidupan.
Usaha ini turut memperlihatkan peranan universiti bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, malah sebagai rakan komuniti yang komited menyokong pembangunan generasi masa hadapan yang cemerlang dalam ilmu, sahsiah dan akhlak.












