Advertisement

UNISAIL 2026 Cipta Sejarah, Himpunkan Mahasiswa Tempatan dan Antarabangsa Perkasa Sukan Pelayaran

Oleh: Aniq Aiman Haiurlbadrishah

KUALA NERUS, 30 Julai: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah menerusi penganjuran sulung UMT International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026, yang disifatkan sebagai antara program pelayaran terbesar pernah dianjurkan oleh UMT Sailing.

Program itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas peruntukan dana yang disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan bot layar F36 milik UMT.

Hasil inisiatif tersebut, jumlah bot layar F36 yang boleh digunakan meningkat daripada hanya dua buah kepada enam buah, sekali gus memperkukuhkan kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan sukan pelayaran di universiti berkenaan.

Pengarah Pusat Latihan Pelayaran (PLP) UMT, Encik Hafizi bin Said dalam ucapannya berkongsi sejarah bot layar F36 yang pernah digunakan semasa kejohanan Monsoon Cup sebelum dibiarkan tersadai di darat selama beberapa tahun.

Beliau berkata, hasil sokongan KPT, bot-bot berkenaan berjaya dipulihkan dan kembali beroperasi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk mengikuti latihan serta menyertai pertandingan pelayaran pada peringkat lebih tinggi.

UNISAIL 2026 menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), National Taiwan Ocean University (NTOU), National University of Singapore (NUS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) serta pasukan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (MPP UMT).

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul juara dan membawa pulang RM1,000, diikuti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di tempat kedua dengan hadiah RM800, manakala National University of Singapore (NUS) menduduki tempat ketiga dan menerima RM500.

Selain menjadi medan pertandingan, UNISAIL 2026 turut berfungsi sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, selain mempromosikan sukan pelayaran sebagai medium pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.

Sementara itu, peserta Nur Imanina Syafiqah binti Abdul Ghani, 22, yang juga Timbalan Setiausaha Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), berkata penyertaannya dalam program itu memberikan pengalaman yang amat bermakna.

Menurut Imanina, UNISAIL 2026 menjadi platform yang membolehkan mahasiswa dari pelbagai universiti dan negara berkongsi pengalaman, membina jaringan kerjasama serta mempelajari nilai kepimpinan dan kerja berpasukan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan kerana ia bukan sahaja memperkasakan sukan pelayaran dalam kalangan mahasiswa, malah melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berani mencuba cabaran baharu dan mampu bekerjasama dalam persekitaran yang pelbagai,” katanya.

Penganjur berharap UNISAIL akan menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuh pembangunan sukan pelayaran universiti di Malaysia, selain meningkatkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyokong pembangunan modal insan secara holistik.