Advertisement

UMT Perhebat Peranan Alumni dengan Pelantikan Penaung Kehormat

Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah

PUTRAJAYA, 30 Mac 2026: Satu majlis rasmi Sesi Penyampaian Surat Pelantikan Penaung Kehormat Alumni UMT yang berkonsepkan santai telah berlangsung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya. Dalam majlis tersebut, YBhg.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima surat pelantikan sebagai Penaung Kehormat Alumni UMT.

Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan signifikan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau khususnya dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti alumni.

Majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi universiti dan jemputan kehormat antaranya YBrs. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Tuan Haji Ts. Wan Abdul Manan bin Wan Abdullah, Pendaftar UMT serta YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Mohd Zul Helmi bin Rozaini, Pengarah Pusat Alumni.

Turut hadir beberapa tokoh alumni unggul dari agensi kerajaan dan sektor awam yang menyokong pembangunan modal insan dan jaringan strategik universiti antaranya ialah YBhg. Dato’ Jamalulail bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Razali bin Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) dan YBhg. YS TPjB Datuk Ts. Nazili bin Hj. Mahmood, Pengarah Bahagian Pembangunan, Kejuruteraan Logistik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan YBhg. Tan Sri, malah menjadi simbol penyatuan serta pemangkin inspirasi kepada seluruh komuniti alumni UMT.

Peranan Penaung Kehormat ini dijangka dapat memperkukuh kredibiliti, memperluas jaringan kerjasama strategik serta meningkatkan keterlihatan alumni UMT di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai Penaung Kehormat Alumni UMT, beliau akan berperanan sebagai simbol kepimpinan moral dan penaung rasmi kepada komuniti alumni.

Selain itu, beliau turut dijangka menyumbang pandangan strategik dalam pembangunan serta hala tuju Pusat Alumni UMT di samping bekerjasama dengan alumni unggul dalam memperkasa peranan alumni sebagai rakan strategik universiti.

Peranan beliau juga diharap mampu menjadi ikon inspirasi kepada alumni dan pelajar dalam aspek kepimpinan, integriti serta sumbangan kepada negara.

Seiring dengan pelantikan ini, beberapa program berimpak tinggi telah dicadangkan untuk dilaksanakan bersama Penaung Kehormat Alumni UMT antaranya ialah Sambutan Hari Alumni UMT bersempena Sambutan Jubli Perak UMT serta penganjuran Syarahan Awam Kebitaraan Mahasiswa sempena World Ocean Week yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.

Program-program ini dijangka menghimpunkan penyertaan aktif alumni serta memperkukuh hubungan antara universiti, alumni dan masyarakat.

Pelantikan ini juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak industri seterusnya memperkukuh kolaborasi strategik antara UMT, alumni unggul, sektor industri dan usahawan.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi serta memperkasa ekosistem alumni yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Majlis ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha berterusan UMT untuk memperkukuh hubungan alumni serta mengangkat peranan mereka sebagai pemangkin kepada pembangunan universiti dan negara.

Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Alumni (PA), HEPA UMT di atas inisiatif yang sangat bermakna untuk alumni-alumni UMT.