Oleh : Mohd Izzat bin Shafie
PEKAN, 21 Mei – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan Dana Siswa Di Hatiku berjumlah RM210,000 daripada Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad bagi membantu kebajikan mahasiswa asnaf dan golongan B40.

Sumbangan tersebut dijangka memberi manfaat kepada seramai 420 mahasiswa UMPSA dalam usaha meringankan beban kewangan sepanjang pengajian mereka di universiti.
Majlis penyerahan telah berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan dengan simbolik penyerahan disampaikan oleh Ketua Bahagian Syariah Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Encik Nik Mansor Nik Mahmud yang menjelaskan pengagihan zakat kepada pelajar merupakan sebahagian usaha membantu golongan yang menuntut ilmu agar dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik.

Sumbangan berkenaan diterima oleh Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak Takaful Malaysia terhadap kebajikan mahasiswa universiti ini.Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed bersama barisan pengurusan kanan universiti.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat secara terus kepada beberapa pelajar terpilih sebagai simbolik penghargaan dan sokongan kepada penerima. Bantuan yang disalurkan itu diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa untuk terus cemerlang dalam akademik dan kehidupan di universiti.

Kredit : Cik Nor Azlina Ahmad & Yayasan UMPSA












