Advertisement

UMPSA Santuni Pelajar Baharu Diploma Menerusi Program Ziarah Prihatin

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Gambang, 18 Jun – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menzahirkan komitmen dalam memperkasa kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa menerusi Program Ziarah Prihatin yang diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Program tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada usaha universiti untuk menyantuni bakal pelajar yang akan melanjutkan pengajian di UMPSA serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

Delegasi UMPSA telah mengadakan kunjungan ke kediaman Muhammad Hazri Hakim Hasni di Taman Tas yang bakal memulakan pengajian sebagai pelajar Diploma UMPSA bagi sesi akademik 2026/2027 pada 19 Julai 2026.

Kunjungan itu bertujuan meninjau persediaan pelajar menjelang hari pendaftaran selain mendapatkan gambaran mengenai keperluan serta cabaran yang mungkin dihadapi oleh keluarga.

Dalam sesi ziarah tersebut, pihak universiti turut berkesempatan beramah mesra dengan keluarga pelajar serta menyampaikan kata-kata semangat sebagai persediaan menghadapi alam pengajian tinggi.

Program Ziarah Prihatin menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara universiti, pelajar dan keluarga, sekali gus mewujudkan persekitaran sokongan yang positif bagi kejayaan akademik pelajar.

Sebagai tanda keprihatinan universiti, Muhammad Hazri Hakim menerima insentif pendidikan berjumlah RM1,000 bagi membantu menampung keperluan awal pengajian.

Selain itu, beliau turut menerima sebuah komputer riba yang diharapkan dapat memudahkan proses pembelajaran serta meningkatkan akses kepada pendidikan digital sepanjang tempoh pengajian.

Inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dan UMPSA dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang pendidikan tinggi akibat kekangan tertentu, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan sejahtera.