Advertisement

UiTM Raikan Kepulangan Wira Negara Komanwel, Mohamad Aniq Kasdan

Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi

SEPANG, 1 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraikan kepulangan atlet angkat berat negara yang juga mahasiswa universiti itu, Mohamad Aniq Kasdan, menerusi Majlis Welcome Home Heroes yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, sejurus beliau tiba dari Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Profesor Dr Shahrin memegang medal emas yang dimenangi aniq dalam temasya sukan komanwel Glasgow.

Mohamad Aniq, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menghadiahkan pingat emas dalam acara angkat berat kategori 60 kilogram lelaki, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Lebih membanggakan, atlet kelahiran Kedah itu turut mencipta sejarah apabila memecahkan rekod Sukan Komanwel menerusi jumlah angkatan keseluruhan 273 kilogram, melibatkan 121 kilogram bagi acara snatch dan 152 kilogram bagi acara clean and jerk. Catatan 152 kilogram dalam acara clean and jerk itu turut diiktiraf sebagai rekod baharu kejohanan.

Kejayaan tersebut bukan sahaja membuktikan konsistensi Mohamad Aniq sebagai antara atlet angkat berat terbaik negara, malah menyerlahkan keupayaan mahasiswa UiTM untuk bersaing dan mencipta kecemerlangan di pentas sukan antarabangsa.

Majlis sambutan kepulangan beliau diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, yang mengetuai delegasi universiti bagi menyatakan penghargaan dan sokongan terhadap pencapaian luar biasa atlet berkenaan.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Prof. Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, serta Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Zamri Abd. Kahar, bersama warga universiti yang hadir bagi menyambut kepulangan wira negara tersebut.

Aniq disambut oleh Dekan FSR dan pengurusan Pusat Sukan UiTM sempena menyambut kepulangan ke tanah air dari Glasgow.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin, berkata kejayaan Mohamad Aniq merupakan satu kebanggaan besar kepada universiti dan negara serta membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan sukan mampu digarap secara seimbang.

“Kejayaan Mohamad Aniq Kasdan merupakan lambang keazaman, disiplin dan semangat juang yang tinggi. Beliau bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan bahawa mahasiswa UiTM mampu muncul sebagai atlet bertaraf dunia tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga UiTM untuk terus mengejar kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.

Aniq bersama rakan atlet disambut pengurusan MSN, KPT dan warga UiTM setibanya di KLIA.

Beliau turut menegaskan bahawa UiTM akan terus komited menyediakan ekosistem pembangunan yang kondusif bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa berprestasi tinggi dalam bidang akademik, sukan, penyelidikan dan kepimpinan selaras dengan aspirasi universiti untuk membangunkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berimpak tinggi.

Pencapaian Mohamad Aniq juga memperkukuhkan reputasi UiTM sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berjaya melahirkan atlet elit negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan mempertahankan pingat emas serta memecahkan rekod Sukan Komanwel menjadi bukti bahawa dedikasi, latihan berterusan dan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak mampu menghasilkan pencapaian yang membanggakan negara.

UiTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaan bersejarah ini dan mendoakan agar beliau terus melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan-kejohanan antarabangsa akan datang, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Universiti Teknologi MARA di persada dunia.