Oleh: Basharudin Abdul Hadi
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih dua pengiktirafan utama dalam VTAREC Challenge 2026, sebuah inisiatif anjuran Vehicle Theft Reduction Council (VTREC) Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan dan pencegahan kecurian kenderaan.
Dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di pejabat VTREC, UiTM telah diumumkan sebagai Pemenang Bersama Kategori Organisasi Paling Banyak Pledge bersama Takaful Ikhlas General Berhad, sekali gus membuktikan komitmen tinggi warga universiti dalam menyokong agenda keselamatan masyarakat.
Lebih membanggakan, PM Dr. Basharudin bin Abdul Hadi, Pengarah Akademi Kepolisan UiTM–PDRM (AKP), turut menerima pengiktirafan “Pledge Paling Inspiratif”, hasil pendekatan kreatif dan mesej kesedaran yang menyentuh hati serta memberi impak positif kepada komuniti mahasiswa dan masyarakat.

Mewakili pihak universiti menerima pengiktirafan utama tersebut ialah Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili bin Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan yang dicapai hasil usaha kolektif seluruh warga UiTM.
Menurut beliau, kejayaan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai kesedaran sivik, disiplin sosial dan nilai tanggungjawab tinggi terhadap kesejahteraan komuniti.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa apabila warga universiti bersatu hati dalam satu aspirasi, kita mampu melahirkan impak besar kepada masyarakat. UiTM sentiasa komited membina mahasiswa yang cakna terhadap keselamatan, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan,” ujar beliau.
Sementara itu, PM Dr. Basharudin bin Abdul Hadi turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh serta merakamkan penghargaan kepada Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili bin Shahibi atas kepimpinan yang kreatif, prihatin dan penuh kasih sayang terhadap kebajikan para mahasiswa UiTM.

Menurut beliau, idea dan saranan strategik daripada Timbalan Naib Canselor HEP menjadi pemangkin utama kepada semangat warga kerja Akademi Kepolisan UiTM–PDRM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi kepada mahasiswa.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili bin Shahibi yang sentiasa berfikiran kreatif serta mempunyai rasa kasih dan keprihatinan tinggi terhadap mahasiswa UiTM. Idea dan aspirasi beliau menjadi sumber inspirasi kepada kami di AKP untuk terus bergerak secara proaktif dalam menjayakan agenda pembangunan sahsiah dan keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama padu sehingga membolehkan UiTM meraih dua kejayaan besar dalam pertandingan tersebut.
Ucapan penghargaan khusus dizahirkan kepada pihak Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKo), Timbalan-Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, warga kerja AKP, jurulatih dan pegawai SUKSIS, Ahli Komandan Kesatria, staf PKeKo, para pelajar serta pelajar latihan industri di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) yang telah bertungkus-lumus menjayakan usaha ini.
“Kejayaan ini bukan milik individu, tetapi hasil kerja berpasukan yang luar biasa. Komitmen semua pihak membuktikan bahawa semangat kebersamaan warga UiTM amat tinggi dalam menjayakan hasrat murni universiti demi kesejahteraan mahasiswa,” tambah beliau lagi.
Kejayaan ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa UiTM terus unggul dalam menerapkan budaya kepimpinan, kesedaran keselamatan dan nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.
Tahniah diucapkan kepada seluruh warga UiTM atas kejayaan membanggakan ini yang sekali lagi mengharumkan nama universiti di peringkat nasional.












