Oleh Mohd Raizol Ramli
KUALA NERUS, 8 Ogos — Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan keunggulan di pentas antarabangsa selepas melakar kejayaan berganda dengan merangkul tiga anugerah dalam kemuncak Majlis Penutup ESG Global Young Leaders Summit 2026 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
Kejayaan manis UPSI dimulakan menerusi pengiktirafan tertinggi apabila Rasyidah Mohamed Farrook daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan Kolej Awang Had Salleh dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Top 1 ESG Icon Award 2026. Beliau membawa pulang sijil penghargaan dan geran aktiviti ESG bernilai RM1,000.00.

Rasyidah turut menyumbang dan menambah kecemerlangan UPSI menerusi kejayaan berpasukan yang dianggotai oleh beliau bersama tiga mahasiswa iaitu Darren Marcastello Benjamin Roady Nosing daripada Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Muhammad Irfan Aiman Abdul Muqtadir daripada FBK dan Md Raysul Islam Siyam daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT). Pasukan ini berjaya meraih Best Presenter Award (Social) berserta hadiah tunai RM 200.00, di samping turut memenangi Best ESG Poster Award (Social) dengan ganjaran tunai RM 200.00 bagi kategori kelestarian sosial.

Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI menzahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang ini yang membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI bersaing di peringkat tinggi.
“Kejayaan merangkul meraih anugerah utama ini mencerminkan komitmen berterusan warga UPSI dalam menterjemahkan agenda kelestarian global. Syabas kepada para pelajar yang memperagakan kepimpinan berimpak serta membawa nama universiti ke mercu kecemerlangan,” katanya.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI turut mengulas bahawa pencapaian ini selari dengan Aspirasi Jiwa Kecemerlangan UPSI.
“Pencapaian ini bukti kepimpinan muda di UPSI bukan sahaja berpengetahuan, malah berintegriti dan proaktif dalam menangani isu-isu sosial serta alam sekitar. Kita akan terus menyokong inisiatif pelajar yang memberikan impak positif kepada masyarakat,” tambahnya.
Persidangan tiga hari yang menghimpunkan pemimpin muda, akademia, pakar industri, dan komuniti dalam memperjuangkan agenda Environmental, Social and Governance (ESG) ini dianjurkan oleh UMT dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta RHB Bank. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.












