Advertisement

Program EMOCARE Siri 1 Beri Pendedahan Berani dan Berfakta kepada Pelajar UPSI

Oleh: Fakhruddin Faris Nazri


Tanjong Malim, 22 Julai – Seramai 250 pelajar Diploma Bahasa Inggeris Semester 2 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program EMOCARE: Siri 1 – REAL TALK: “No Filter, No Cap, Just Facts” yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP), Kampus Sultan Azlan Shah pada 22 Julai 2026.


Dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UPSI dengan kerjasama Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, program ini membawa pendekatan berani dan berasaskan bukti dalam membincangkan isu yang sering dianggap sensitif seperti kesihatan mental, hubungan interpersonal, seks selamat, penyakit jangkitan seksual (STI), pengaruh media sosial dan tingkah laku berisiko dalam kalangan mahasiswa.

Slot memahami STI dan HIV


Bagi memastikan perbincangan berjalan dengan lebih terbuka dan selesa, peserta telah dibahagikan mengikut jantina semasa sesi perkongsian utama. Pelajar perempuan mengikuti sesi yang dikendalikan oleh Encik Ahmad Shazwi bin Ahmad Shukri, manakala pelajar lelaki mengikuti sesi yang dikendalikan oleh Encik Fakhruddin Faris Bin Nazri.

Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk bertanya soalan, berkongsi pandangan dan membincangkan isu-isu sensitif secara lebih mendalam dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Slot perbentangan pelajar


Selain ceramah interaktif, peserta turut menyertai aktiviti “Perbincangan Keputusan Kehidupan Sebenar”, sesi refleksi dan soal jawab bersama penceramah. Pengisian program memberi penekanan kepada kemahiran membuat keputusan yang sihat, mengenal pasti tingkah laku berisiko serta kepentingan mendapatkan bantuan profesional apabila berdepan cabaran emosi dan sosial.


Menurut Puan Nur Khalilah Binti Ramlii, Guru Bahasa Fakulti Bahasa dan Komunikasi, program seperti ini amat penting kerana mahasiswa kini berdepan pelbagai cabaran yang jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu.

Slot perbantangan pelajar


“Golongan muda hari ini hidup dalam dunia yang dipenuhi maklumat tanpa sempadan. Malangnya, tidak semua maklumat yang mereka terima adalah tepat. Melalui REAL TALK, kami mahu menyediakan ruang yang selamat untuk pelajar bertanya, berbincang dan mendapatkan maklumat yang berasaskan bukti. Apabila mereka mempunyai pengetahuan yang tepat, mereka akan lebih bersedia membuat keputusan yang sihat, bertanggungjawab dan berani mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.”


Program ini bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah berusaha menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental dan sosial melalui pendekatan yang dekat dengan generasi muda. Dengan mengangkat tema “No Filter, No Cap, Just Facts”, peserta digalakkan menilai maklumat secara kritis, menolak mitos dan membina gaya hidup yang lebih sihat serta bertanggungjawab.


Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya tahan, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital. Program ini turut menyokong Sustainable Development Goal (SDG) 3: Good Health and Well-being dan SDG 4: Quality Education melalui usaha memperkukuh kesejahteraan mental dan pembangunan holistik warga kampus.

Peserta dan Penceramah mengambil gambar kenangan