Advertisement

PRIHATIN NASIB PELAJAR TERJEJAS KEBAKARAN, KPT DAN UniMAP PASTIKAN CITA-CITA TIDAK TERHENTI

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

KOTA BHARU, 20 Ogos 2026 – Musibah kebakaran yang memusnahkan rumah keluarganya pada awal Jun lalu tidak mematahkan semangat Siti Nor Ashikin  Zakaria, pelajar baharu Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), untuk terus mengejar cita-cita, malah kisah ketabahan beliau sekeluarga mendapat perhatian dan keprihatinan Menteri Pendidikan Tinggi,  Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Keprihatinan tersebut dizahirkan menerusi kunjungan Ziarah Kasih UniMAP hari ini apabila YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkesempatan berhubung secara panggilan video dengan Siti Nor Ashikin, sekali gus menyampaikan kata-kata semangat agar beliau terus tabah dan tidak menjadikan musibah yang berlaku sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Perhatian yang diberikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan aspek kebajikan dan kelangsungan pendidikan mahasiswa sentiasa diberikan perhatian, khususnya kepada pelajar yang berdepan kesusahan serta memerlukan sokongan bagi meneruskan pengajian.


“Jangan jadikan apa yang berlaku sebagai penghalang untuk adik terus berjaya. Teruskan pengajian dengan bersungguh-sungguh dan jadikan ujian ini sebagai kekuatan untuk adik melangkah lebih jauh.

“Kementerian Pendidikan Tinggi akan sentiasa membantu dan berusaha meringankan beban pelajar. Kita tidak mahu kesusahan yang mereka lalui menjadi penghalang untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, rumah keluarga Siti Nor Ashikin di Kampung Gak Kapur, Kota Bharu musnah dalam kebakaran, menyebabkan beliau sekeluarga kehilangan tempat tinggal.

Bapanya, Zakaria Hassan, kini menetap sementara di Surau Al-Ikhsan berhampiran tapak rumah yang terbakar, manakala Siti Nor Ashikin tinggal bersama sepupu di sebuah rumah sewa yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam keadaan serba mencabar, Siti Nor Ashikin yang merupakan anak daripada tujuh beradik tetap memilih untuk meneruskan pengajian demi mengubah kehidupan keluarga.

Ibunya telah meninggal dunia, manakala seorang kakaknya telah berkeluarga dan empat lagi adik-beradik telah bekerja serta menetap di tempat lain.

Lebih membanggakan, adiknya, Ahmad Faris Bin Zakaria, turut menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sekali gus memperlihatkan kesungguhan dua beradik itu untuk menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar bagi mengubah masa depan keluarga.

Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kelangsungan pendidikan kedua-dua beradik, Siti Nor Ashikin dan Ahmad Faris masing-masing menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa, selain Bantuan Awal Pendidikan UniMAP sebanyak RM500 bagi setiap seorang.


Bantuan tersebut memperlihatkan kesungguhan KPT dan UniMAP dalam memastikan mahasiswa yang berdepan cabaran kehidupan tidak dibiarkan mengharungi kesukaran bersendirian, sebaliknya diberikan sokongan sewajarnya agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih tenang dan yakin.

Kunjungan berkenaan turut disertai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang, yang bersama-sama menyantuni Siti Nor Ashikin dan keluarganya.

Bagi UniMAP, pelaksanaan Ziarah Kasih bukan sekadar kunjungan kebajikan, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen universiti untuk sentiasa dekat dengan mahasiswa, memahami cabaran yang mereka hadapi serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terbela sepanjang tempoh pengajian.

Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi pendidikan tinggi yang menekankan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh, termasuk memastikan faktor kehidupan dan cabaran keluarga tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan serta pencapaian akademik.