Advertisement

Pensyarah FSSG UniSZA Merangkul Pingat Perak di KNovasi 2026 Menerusi Inovasi Pembelajaran Gerontologi Berteraskan AI

SEPANG – Kecemerlangan warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus menyerlah di peringkat antarabangsa apabila Dr. Normala Riza dari Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) berjaya merangkul Pingat Perak (Silver Medal) dalam KNovasi 2026 – Kongres Antarabangsa & Pertandingan Inovasi dalam Pengajaran & Pembelajaran.

Beliau mempamerkan produk inovasi berimpak tinggi yang bertajuk “Pendekatan Reflektif Transformatif Diperkasa AI dalam Pembelajaran Gerontologi”. Kejayaan ini mengetengahkan kebolehan penggabungan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang gerontologi yang memberi fokus kepada kajian penuaan dan kesejahteraan warga emas.

Pencapaian membanggakan ini bukan sahaja mengharumkan nama FSSG dan UniSZA, malah menjadi bukti komitmen universiti dalam meneroka kaedah pedagogi moden yang kreatif, inovatif serta relevan dengan keperluan era digital masa kini.

Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga akademik dan mahasiswa UniSZA untuk terus menghasilkan inovasi berimpak tinggi, meneroka sempadan baharu dalam bidang pendidikan, serta terus cemerlang di persada global. Tahniah diucapkan kepada Dr. Normala Riza!

Total Views: 13