Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
RAUB, 23 Mei 2026: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menganjurkan Kem Kepemimpinan Mahasiswa (KEMSIS) 2026 selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Mei 2026 di Kela Adventure Camp, Raub, Pahang. Program ini menghimpunkan barisan pemimpin mahasiswa serta wakil kelab dan persatuan universiti bagi memperkukuh pembangunan kepemimpinan, sahsiah dan jati diri mahasiswa.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti latihan kepemimpinan, pembinaan pasukan, pengukuhan komunikasi, aktiviti lasak serta sesi perkongsian bersama tokoh jemputan yang berpengalaman. Antara pengisian utama ialah Wave of Leadership yang merangkumi aktiviti water confident dan water trekking, selain sesi Aspirasi Bersama Penasihat MPP dan Kelab Persatuan UMT yang menjadi platform dialog antara mahasiswa dan pihak pengurusan universiti.

KEMSIS 2026 turut menampilkan perkongsian daripada tiga tokoh jemputan, iaitu Encik Agha Khilfi Suarno, Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) UMPSA, Encik Zulkifli Che Hussin, Pengurus Kolaborasi dan Strategik Yayasan Perkasa Siswa (YPS), serta Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali, Pegawai Tadbir Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Universiti Utara Malaysia (UUM). Mereka berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan kepemimpinan, kebajikan mahasiswa serta pembinaan sahsiah dan integriti.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain yang menegaskan bahawa KEMSIS 2026 merupakan platform strategik dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang holistik, berintegriti dan berdaya saing. Beliau turut menyatakan bahawa pendedahan bersama tokoh berpengalaman mampu meningkatkan motivasi mahasiswa untuk terus membangunkan potensi diri serta bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Penganjuran KEMSIS 2026 selaras dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat). Program ini membuktikan komitmen UMT dalam memperkasakan kepemimpinan mahasiswa dan melahirkan graduan yang holistik, berintegriti serta mampu menjadi pemimpin masa hadapan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, fasilitator, panel jemputan serta para peserta yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung. Semoga KEMSIS 2026 terus menjadi medium penting dalam melahirkan mahasiswa UMT yang holistik, berkepimpinan tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat serta negara.












