Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
SINTOK, KEDAH – Pasukan futsal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempamerkan aksi dan prestasi membanggakan dalam Kejohanan Grand Final Liga Super, Liga Premier & Karnival Liga Futsal IPT Wanita 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Pasukan Futsal Wanita UPSI mencuri tumpuan ramai apabila muncul sebagai naib johan Karnival Futsal IPT Wanita hasil persembahan konsisten dan bersemangat tinggi sepanjang saingan.

Kejayaan tersebut turut disulami aksi cemerlang dua tonggak utama pasukan, Stepheny Anak Jimmy (jersi #10) dan Nurfarisya Hanim (jersi #13), yang masing-masing meledak enam gol sepanjang kejohanan. Catatan itu meletakkan mereka sebagai penjaring terbanyak pasukan sekali gus mengekori rapat pemenang jaring terbanyak dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merekodkan sembilan gol.

Sementara itu, Pasukan Futsal Lelaki UPSI turut memastikan tempat di peringkat lebih tinggi selepas menamatkan saingan Liga Super Futsal IPT di kedudukan ketujuh. Keputusan positif ini secara rasmi mengesahkan tiket mereka ke Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Ke-7 2026 yang akan berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Ogos ini.
Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, Muhammad Faeez bin Mohammad Alias, Pengarah Pusat Sukan UPSI menzahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet dan pegawai.
“Kejayaan pasukan wanita meraih gelaran naib johan serta kelayakan pasukan lelaki ke SUKIPT 2026 adalah bukti keberkesanan latihan intensif dan semangat juang tinggi warga UPSI. Pencapaian ini menjadi penanda aras terbaik serta suntikan semangat buat kita memperkemas persiapan fizikal dan mental sebelum berjuang di Universiti Malaya kelak,” ujar beliau.
Keseluruhan pencapaian ini mencerminkan komitmen padu serta kerjasama erat antara barisan pemain, jurulatih, dan pengurusan Pusat Sukan UPSI.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh skuad futsal UPSI. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang di pentas SUKIPT 2026 kelak.
“Impossible Is Nothing”












