Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
Bangkok, Thailand | 4 Ogos 2026 – Dua mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang juga barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila terpilih mewakili Malaysia ke 14th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference Centre), Bangkok, Thailand dari 4 hingga 8 Ogos 2026.
Dua mahasiswa berkenaan ialah Amiratul ‘Ain binti Rahimi, Exco Perhubungan Luar dan Jaringan Antarabangsa MPP UiTM Shah Alam, serta Alisha Zahra binti Mohd Shah Noor, Exco Kepimpinan dan Kesukarelawanan MPP.

Lebih membanggakan, Amiratul ‘Ain turut mencipta satu lagi pencapaian apabila dipilih sebagai Jawatankuasa Urusetia (Organising Committee) mewakili rantau ASEAN bagi USLS 2026. Pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti, keupayaan kepimpinan dan komitmen beliau dalam mengendalikan program bertaraf antarabangsa bersama delegasi dari pelbagai negara.
USLS merupakan antara platform kepimpinan belia antarabangsa yang menghimpunkan ribuan mahasiswa dari seluruh dunia bagi membincangkan isu kemanusiaan, pembangunan mampan, keamanan sejagat dan kepimpinan global melalui forum, bengkel, dialog bersama tokoh dunia serta aktiviti kesukarelawanan.

Sepanjang program, para peserta berpeluang mendalami isu-isu berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs), membina jaringan antarabangsa, bertukar pandangan dengan pemimpin muda pelbagai negara serta memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, komunikasi rentas budaya dan penyelesaian masalah dalam konteks global.
Penyertaan kedua-dua mahasiswa ini mencerminkan kecemerlangan mahasiswa UiTM yang bukan sahaja aktif memimpin di peringkat universiti, malah berupaya bersaing dan menyumbang dalam platform kepimpinan antarabangsa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa UiTM memiliki keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan pemimpin muda dunia apabila diberikan peluang dan pendedahan yang sewajarnya.
“Penyertaan Amiratul ‘Ain dan Alisha Zahra dalam USLS 2026 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat UiTM. Lebih istimewa apabila Amiratul ‘Ain diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Urusetia mewakili rantau ASEAN. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa mahasiswa UiTM mempunyai kepimpinan, profesionalisme dan kompetensi bertaraf antarabangsa.”
Beliau berkata, penyertaan dalam program berprestij seperti USLS mampu memperluaskan perspektif mahasiswa terhadap isu-isu global, mengukuhkan jaringan antarabangsa serta membentuk pemimpin yang berintegriti, berfikiran strategik dan berjiwa masyarakat.

Menurut beliau lagi, pengalaman yang diperoleh sepanjang persidangan akan menjadi nilai tambah kepada kedua-dua mahasiswa untuk terus memacu agenda kepimpinan, kesukarelawanan dan pengantarabangsaan di UiTM, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan mahasiswa secara keseluruhan.
Kejayaan ini juga membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai daya kepimpinan tinggi, semangat kesukarelawanan, kepekaan terhadap isu sejagat serta mampu menjadi duta kecil universiti dan negara di pentas antarabangsa.
Penyertaan kedua-dua wakil MPP UiTM Shah Alam ini diharap menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berani mencabar diri, merebut peluang di peringkat antarabangsa serta membawa nama UiTM ke persada dunia melalui kecemerlangan kepimpinan, kesukarelawanan dan kecintaan terhadap khidmat kepada masyarakat.












